KUALA LUMPUR – Selepas melalui perlawanan yang mendebarkan pada siri terakhir saringan peringkat kumpulan dalam Kejuaraan Dunia Mobile Legends 2020 (M2), skuad Malaysia, Todak akhirnya berjaya mara ke pusingan playoff.
Kejayaan Todak itu berjaya dilakukan apabila pasukan itu menewaskan pasukan Brazil, Dreammax 2-1 pada petang tadi.
Todak dijangka akan berlawan peringkat lower bracket di playoff, pada Jumaat nanti.
Sementara itu, kapten pasukan Todak, Zikry Shamsuddin (Moon) menyifatkan pasukannya akan memperbaiki corak permainan yang lebih baik untuk pusingan playoff M2.
“Kami mempunyai kekuatan pada peringkat pertengahan dan lewat permainan. Kami akan memberi fokus untuk memperbaik corak permainan yang lebih kepada membalas semula serangan pihak musuh.
“Kami juga akan memberi tumpuan dalam pemilihan hero (drafting). Jika drafting berkesan, corak permainan kami akan berjalan dengan lebih lancar,” kata Moon dalam satu sidang media selepas tamat perlawanan menentang Dreammax.
Dalam perlawanan itu, Moon yang menggunakan hero Vale muncul sebagai pemain terbaik pusingan ketiga.
Sementara itu, rakan sepasukan Moon, Muhammad Rizwan Abdullah (Eone) yang menggunakan hero Atlas pada pusingan kedua juga dipilih sebagai pemain terbaik.
Selain Moon dan Eone, pasukan itu terdiri daripada Muhammad Danial Mohamad Faud (Ciku), Wan Usman Wan Imran (4Meyz), Mohamad Aiman Idris (Xray) dan Zairul Hazim Zailani (Stoo).
M2 telah membuka tirai pada 18 Januari lalu dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM1.2juta (AS$300,000).
Pada M1 yang lalu, Todak muncul sebagai pasukan ketiga terbaik dunia.