TERAS 2
PENERAPAN TADBIR URUS DALAM PENGANJURAN ACARA
SASARAN
- Memastikan standard penganjuran yang terbaik bagi semua pertandingan sukan elektronik di setiap peringkat.
- Pematuhan kepada semua terma dan syarat yang dikeluarkan oleh penerbit permainan termasuk mendapatkan lesen dan penganjuran apa-apa aktiviti sukan elektronik, jika perlu.
- Mempromosi dan membuat hebahan maklumat berkaitan sebarang aktiviti sukan elektronik secara efisien dan jelas kepada pemain dan kelab.
- Penerapan prinsip kesamarataan dan sikap integriti oleh penganjur acara dalam menjalankan aktiviti sukan elektronik untuk membentuk masyarakat sukan elektronik yang lebih terbuka dan inklusif kepada semua pihak.
- Memastikan pemprosesan data peribadi pemain bagi tujuan aktiviti sukan elektronik setelah mendapat persetujuan yang nyata oleh pemain dipatuhi sepenuhnya oleh penganjur acara seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
- Persetujuan untuk menerima apa-apa bentuk tajaan untuk penganjuran aktiviti sukan elektronik haruslah bersifat telus dan terbuka serta dengan niat dan tahap tadbir urus yang baik.
- Pencapaian pematuhan pada tahap yang maksimum oleh pihak yang terlibat.
- Bertanggungjawab untuk mengawal dan memastikan aktiviti sukan elektronik di persekitaran yang selamat dan kondusif.
SENARAI PANDUAN
Standard Pertandingan dan Penganjuran
- Sebarang penganjuran aktiviti sukan elektronik di Malaysia haruslah mendapat input dan rujukan daripada pihak yang bertanggungjawab dengan mengambil kira standard antarabangsa yang dilesenkan oleh pihak yang terlibat berkuasa tempatan dan antarabangsa (sekiranya perlu).
- Penganjur acara bertanggungjawab memastikan standard penganjuran aktiviti sukan elektronik termasuk peraturan-peraturan dan syarat-syarat penglibatan diterangkan secara jelas untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan pertikaian. Hebahan ini perlu dilakukan melalui medium komunikasi rasmi penganjur acara sahaja dan pautan untuk sebarang pertanyaan lanjut harus disediakan oleh pihak penganjur acara.
- Proses pendaftaran haruslah direkodkan dan dimeterai secara sukarela oleh pihak yang terlibat. Penganjur acara haruslah memastikan tiada isu berbangkit yang belum diselesaikan sebelum proses pendaftaran mana-mana pihak sebagai peserta dalam aktiviti sukan elektronik tersebut.
- Terma-terma untuk membuat penarikan diri sebelum atau selepas sebarang aktiviti sukan elektronik berjalan haruslah jelas dan selaras dengan terma-terma yang dipersetujui oleh peserta dan penganjur acara termasuk sebarang pembayaran balik atau penalti yang perlu ditanggung oleh peserta dan penganjur acara.
- Sekiranya aktiviti sukan elektronik yang melibatkan pertandingan di antara pemain atau pasukan:-
- Format pertandingan dan struktur pusingan haruslah dinyatakan pada peringkat awal sebelum pendaftaran dan sebarang pindaan mestilah mendapat kebenaran daripada pemain atau pasukan yang bertanding;
- Sistem pemberian mata dan penetapan kedudukan peserta yang bertanding haruslah mengikut format pertandingan yang dipersetujui dan dipaparkan secara jelas dan terbuka kepada semua peserta. Penganjur acara perlu memastikan formula yang diguna pakai setelah mengambil kira pembatalan sebarang perlawanan atau penarikan diri peserta adalah adil dan dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat secara serta merta;
- Sebarang prosedur untuk membantah pemberian mata atau kedudukan peserta secara rasmi oleh peserta pertandingan secara lisan atau bertulis haruslah diperincikan dan dimaklumkan kepada semua peserta termasuk tempoh masa sah untuk membuat bantahan tersebut. Penganjur acara bertanggungjawab mendapatkan jawatankuasa bebas untuk mengadili bantahan atau apa-apa rayuan terhadap keputusan bantahan tersebut;
- Keputusan dan pemarkahan bagi setiap perlawanan perlu diumumkan sejurus selepas perlawanan tamat melalui medium rasmi komunikasi penganjur acara; dan
- Hadiah yang dijanjikan seperti mana terma haruslah diberikan kepada peserta yang memenangi pertandingan tersebut dalam tempoh masa yang dipersetujui selepas tamatnya pertandingan tersebut. Penganjur acara bertanggungjawab memastikan hadiah yang dijanjikan adalah hadiah yang sah untuk diguna pakai oleh pemenang dari sudut undang-undang, tidak bercanggah dengan adab, moral dan agama.
Penguatkuasaan Polisi Anti-Doping
- Penganjur acara adalah digalakkan untuk mengeluarkan Polisi Anti-Doping dan menjalankan ujian doping sebelum apa-apa aktiviti sukan elektronik sekiranya didapati bahawa penggunaan bahan yang tersenarai di bawah senarai bahan terlarang telah disalahguna secara berleluasa oleh pemain yang menggunakannya untuk membantu meningkatkan prestasi mereka.
- Pemain jika disabitkan bersalah menggunakan bahan di bawah senarai bahan terlarang boleh dihukum antara lainnya, menarik mana-mana anugerah, kemenangan dan/atau larangan untuk menyertai apa-apa acara sukan elektronik dalam sesuatu tempoh.
- Agensi yang bertanggungjawab di dalam pengawalseliaan dan pemantauan Anti-Doping dalam kalangan atlet tempatan adalah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS). Pihak penganjur acara disarankan supaya merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak ADAMAS dari semasa ke semasa.
Keselamatan Siber dan Fizikal
- Penganjur acara mestilah menetapkan standard keselamatan termasuklah keselamatan siber sekiranya aktiviti sukan elektronik tersebut dijalankan secara maya.
- Sekiranya aktiviti sukan elektronik tersebut dijalankan secara fizikal, penganjur acara perlu memastikan penanda laluan masuk dan keluar, kawasan larangan, penanda lokasi bagi ambulans atau paramedik dan standard keselamatan kebakaran yang menyeluruh. Penyeliaan dan pemeriksaan rutin perlu dilakukan dengan kerap demi mengekalkan keselamatan lokasi aktiviti sukan elektronik dijalankan.
- Keselamatan siber perlu dijadikan perkara yang penting dalam menentukan mutu penganjuran sesuatu aktiviti sukan elektronik. Ianya penting bagi penganjur acara untuk memastikan data peribadi peserta/pemilik data dilindungi dan tiada penglibatan orang ketiga untuk berkomunikasi secara langsung dengan peserta melalui medium komunikasi yang telah ditetapkan oleh penganjur acara untuk menjamin ketelusan sebuah perlawanan sukan elektronik.
Tanggungjawab Penyiaran dan Penstriman
- Penganjur acara bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan penyiaran dan penstriman apa-apa aktiviti sukan elektronik kepada umum mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang Malaysia. Penganjur acara antara lain harus merujuk dan mematuhi kod yang dikeluarkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang menggariskan amalan dan standard kandungan yang dibenarkan untuk hebahan.
- Hak penyiaran dan penstriman adalah bukan hak mutlak pihak penganjur acara. Penganjur acara (sekiranya perlu) mendapatkan kebenaran daripada pihak yang terlibat yang mempunyai kuasa untuk membenarkan aktiviti sukan elektronik tersebut dipertontonkan kepada orang awam tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.
- Kebenaran mutlak perlu diperoleh daripada peserta-peserta atau ibu bapa bagi peserta di bawah umur sebelum menyiarkan atau menstrim sesuatu perlawanan kerana peserta adalah subjek kepada siaran atau strim tersebut. Selain itu juga, penganjur acara adalah tertakluk dengan terma-terma privasi dengan peserta (sekiranya ada) untuk tidak mendedahkan identiti peserta.
Integriti Penganjur Acara dan Tatatertib Pemain
- Standard penganjuran kelas pertama untuk semua aktiviti sukan elektronik adalah penting yang mana penganjur acara bertanggungjawab memastikan kepatuhan dan integriti yang tinggi semasa aktiviti sukan elektronik berlangsung.
- Penganjur acara hendaklah berlaku adil dan tanpa rasa takut atau pilih kasih bagi memastikan tiada unsur yang membolehkan keputusan perlawanan dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung termasuk isu penetapan perlawanan serta pasukan dan peserta.
- Untuk memastikan kemampanan industri sukan elektronik, penganjur acara dilarang sama sekali untuk terlibat di dalam sebarang aktiviti pertaruhan, perjudian, loteri, atau transaksi yang berkait dengan pertandingan sukan elektronik.
- Kod tatatertib yang menggariskan amalan dan tingkah laku pemain ketika aktiviti sukan elektronik harus disiarkan di dalam medium rasmi komunikasi penganjur acara dan diakses tanpa had oleh mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik. Penganjur acara disyorkan supaya mendapatkan pengesahan pematuhan tatatertib daripada setiap peserta sebelum memulakan aktiviti sukan elektronik tersebut.
- Penganjur acara juga harus memastikan mana-mana kelakuan atau percubaan untuk melakukan sebarang kesalahan termasuk penggunaan bahan-bahan yang bahan-bahan yang boleh memabukkan dan memudaratkann serta penggunaan bahan-bahan di bawah senarai bahang terlarang yang melanggar tatacara kelakuan sebagai pemain, jika disabitkan bersalah perlu dihukum mengikut tahap kesalahan pemain tersebut. hukuman tersebut antara lainnya, menarik atau membatalkan mana-mana anugerah, kemenangan dan/atau larangan untuk menyertai apa-apa acara sukan elektronik dalam sesuatu tempoh.
- Penganjur acara juga bertanggungjawab terhadap semua pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik untuk tidak membuat sebarang bentuk gangguan dengan perbuatan atau lisan berunsur kebencian, menghina, mengancam secara agresif dan tidak wajar dengan bertujuan untuk menakutkan, mengaibkan dan memberi tekanan emosi (“Buli”).
- Buli adalah termasuk perbuatan atau lisan yang berkaitan dengan isyarat lucah, seks identiti dan ekspresi jantina, orientasi seksual, bangsa, etnik, kecacatan, penampilan fizikal, saiz badan, umur, atau agama.
- Antara langkah awal yang boleh diambil oleh penganjur acara untuk membendung gejala buli ketika aktiviti sukan elektronik ialah memastikan taklimat merangkumi tatatertib peserta, proses dan prosedur pengaduan dan tindakan tatatertib yang akan diambil sekiranya peserta tersebut didapati bersalah.
- Selain itu juga, penganjur acara bertanggungjawab untuk memastikan tag nama, logo dan imej yang akan digunakan oleh peserta dan pasukan ketika aktiviti sukan elektronik tidak mempunyai unsur-unsur negatif atau lucah atau mempunyai unsur-unsur sensitif yang melibatkan seksual, perkauman, agama serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
- Penganjur acara berhak untuk menukar atau tidak menggunakan mana-mana nama, logo dan imej yang digunakan oleh peserta dan pasukan yang tidak mengikut standard dan peraturan yang telah ditetapkan termasuk menolak permintaan untuk menyertai aktiviti sukan elektronik.
Had Umur
- Sebelum membuka pendaftaran kepada kanak-kanak, penganjur acara haruslah menyemak dengan tetliti syarat yang diletakkan oleh penerbit permainan berkaitan had umur yang dibenarkan memandangkan terdapat permainan yang tidak sesuai dimainkan oleh kanak-kanak di bawah umur.
- Penganjur acara harus memastikan bahawa semua langkah-langkah yang produktif telah diambil untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur dari sebarang bentuk kemudaratan sama ada sebagai pemain, peserta atau penonton sebelum mengadakan apa-apa penganjuran aktiviti sukan elektronik.
- Langkah-langkah ini termasuk memastikan persetujuan ibu bapa diperoleh secara bertulis sebelum membenarkan kanak-kanak di bawah umur menyertai apa-apa aktiviti sukan elektronik tersebut.
Data Peribadi dan Notis Privasi
- Penganjur acara adalah dibenarkan untuk mengakses/mengumpul maklumat peribadi peserta setelah mendapat persetujuan dan kebenaran daripada peserta sendiri bagi tujuan proses pendaftaran atau promosi untuk sebarang aktiviti sukan elektronik sahaja di mana keseluruhan proses tersebut haruslah sepertimana yang ditetapkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
- Penganjur acara bertanggungjawab untuk memastikan maklumat peribadi peserta tidak disalahguna untuk tujuan selain aktiviti sukan elektronik atau dijual dan dikongsi kepada mana-mana pihak di dalam dan luar negara tanpa kebenaran.
- Data peribadi atau maklumat berhubung dengan alat dan sistem maklumat harus mematuhi Standard ISO 27001: Sistem pengurusan keselamatan maklumat atau mana-mana piawaian lain ditetapkan oleh Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi.
- Notis privasi bagi penggunaan data peribadi perlu mendapat kebenaran peserta tersebut dan notis yang berkaitan hendaklah ditulis dengan cara yang mudah difahami oleh semua pihak.
- Peserta berhak menarik balik kebenaran dari menggunapakai data peribadi atau maklumat pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan alasan.
Tajaan
- Pihak penganjur acara serta pemain atau pasukan boleh mendapatkan tajaan daripada mana-mana pertubuhan korporat atau NGO untuk menaja aktiviti sukan elektronik yang akan dijalankan.
- Walau bagaimanapun, penganjur acara serta pemain atau pasukan harus mengambil kira faktor-faktor berikut sebelum membuat apa-apa rundingn lanjut berkenaan penajaan untuk aktiviti sukan elektronik yang akan dijalankan. Antara lainnya ialah penaja-penaja yang terlibat di dalam aktiviti perjudian, alkohol, rokok, dan rokok elektronik atau aktiviti-aktiviti keganasan, yang tidak bersesuaian dengan moral dan penerimaan masyarakat umum di Malaysia.
- Penganjur acara juga perlu memastikan pematuhan penuh terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Kod Sukan Selamat
- Kod Sukan Selamat merupakan suatu garis panduan yang dibangunkan oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat serta peranan dan tanggungjawab dalam menangani gangguan dan penderaan dalam acara sukan elektronik.
- Pihak penganjur acara serta pemain atau pasukan sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran sukan masing-masing adalah selamat dan kondusif.
- Kod Sukan Selamat telah menggariskan perkara- perkara yang perlu dipatuhi serta tanggungjawab semua atlet, jurulatih, pegawai dan pihak berkepentingan lain dalam sukan masing-masing;
- Mempromosi Polisi Sukan Selamat secara meluas agar anggota Badan Sukan mengetahui kewujudan dan pelaksanaan polisi;
- Melantik sekurang-kurangnya seorang pegawai untuk menguruskan perkara berkaitan sukan selamat;
- Menyediakan program latihan dan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang sukan selamat; dan
- Mengurus dan menyelesaikan aduan mengenai sukan selamat menggunakan mekanisme dalaman.
- Bagi memastikan penganjur acara menerapkan saranan-saranan di atas secara maksimum, pemantauan daripada agensi-agensi kerajaan dan juga badan-badan regulatori terhadap pematuhan undang-undang yang sedia ada adalah amat penting dalam merancakkan aktiviti sukan elektronik di Malaysia.
- Oleh yang demikian, penyediaan panduan kontrak yang disediakan di dalam NESDEG ini telah disediakan secara menyeluruh setelah mengkaji kehendak dan keperluan semua pihak. Diharap panduan ini dapat dijadikan sebagai dokumen pemudah cara untuk sebarang aktiviti sukan elektronik yang ingin dijalankan oleh mana-mana pihak sebagai penganjur acara di Malaysia.
- Antara terma-terma penting yang perlu diberi perhatian oleh pemain adalah seperti berikut:-
- Syarat Penyertaan
Penganjur acara bertanggungjawab untuk menyatakan dengan jelas tentang semua syarat dan terma penyertaan sebelum menerima masuk Pemain atau Kelab untuk menyertai apa-apa aktiviti sukan elektronik.
Terma dan syarat yang dinyatakan haruslah mengambil kira semua syarat-syarat tambahan dan syarat-syarat lain yang diminta oleh penerbit permainan atau apa-apa syarat lain yang dituntut oleh pihak penaja aktiviti sukan elektronik tersebut. - Tempoh Aktiviti
Tempoh masa bagi aktiviti sukan elektronik adalah penting dan perlu dinyatakan dengan jelas bagi memastikan kesediaan dan komitmen pemain/kelab sepanjang tempoh aktiviti sukan elektronik yang dianjurkan.
Tempoh aktiviti sukan elektronik tersebut haruslah dipersetujui oleh pemain/kelab setelah mengambil kira semua faktor dan risiko sebelum menandatangani kontrak tersebut memandangkan semua terma dan syarat yang dinyatakan (melainkan dinyatakan sebaliknya) akan mengikat semua pihak sepanjang tempoh aktiviti sukan elektronik tersebut. - Format Pertandingan dan Struktur Pusingan
Antara butiran lain yang perlu dilampirkan bersama terma dan syarat aktiviti sukan elektronik yang akan dianjurkan oleh penganjur acara adalah seperti berikut: –
a) jadual pertandingan sepanjang tempoh aktiviti sukan elektronik;
b) peraturan-peraturan yang melibatkan aktiviti sukan elektronik termasuk sistem kutipan mata dan proses pembantahan kutipan mata (sekiranya ada).
Format yang telah disediakan dan dikongsi bersama pemain/kelab tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh penganjur acara melainkan mendapat persetujuan penuh daripada semua pihak yang terlibat termasuk pihak penaja. - Hadiah Pertandingan
Semua bentuk hadiah yang dijanjikan oleh pihak penganjur acara kepada pemenang yang memenangi pertandingan yang dipertandingkan perlulah berakujanji untuk menyerahkan hadiah tersebut kepada pihak pemenang dalam tempoh yang dipersetujui oleh pihak yang terlibat sepertimana di dalam kontrak. - Medium Komunikasi Rasmi
Penganjur acara digalakkan untuk mempunyai medium komunikasi rasmi untuk menjadi bahan rujukan mudah kepada pemain/kelab mengenai pengumuman penting atau informasi terkini berkenaan aktiviti sukan elektronik tersebut.
Selain itu, medium komunikasi ini penting supaya sebarang bentuk persoalan dan kekeliruan dapat diajukan dengan mudah oleh pihak yang berminat dengan aktiviti sukan elektronik tersebut. - Kewajipan pihak yang terlibat
Tanggungjawab, komitmen, penyampaian servis dan perkhidmatan pihak penganjur acara dengan pemain/kelab perlu dinyatakan dengan jelas supaya kedua-dua pihak memahami objektif aktiviti sukan elektronik tersebut. Selain itu, terma ini juga amatlah penting supaya pihak-pihak dapat melindungi kepentingan masing-masing dengan lebih jelas telus dan dapat mengelakkan sebarang isu serta pertikaian sekiranya ia tidak dinyatakan di dalam kontrak tersebut.
Selain itu, tanggungjawab sebagai pemain juga haruslah ditekankan supaya pemain dapat dibentuk dengan disiplin yang tinggi selain maklum bahawa peranan sebagai pemain adalah kehendak kontraktual yang wajib dipatuhi. - Penamatan dan Kesan Penamatan Kontrak
Terma penamatan kontrak adalah penting supaya pihak yang terlibat menghormati bahawa kontrak yang ditandatangani adalah tertakluk dengan peruntukan di bawah Akta Kontrak 1950. Sebarang kontrak akan ditamatkan sekiranya ia merupakan satu tuntutan di bawah undang-undang atau ketidakpatuhan pihak yang terlibat untuk mematuhi terma kontrak tersebut, atau tamat tempoh waktu yang dipersetujui pihak yang terlibat atau ditamatkan dengan persetujuan bersama-sama.
Pihak yang terlibat juga harus mengambil maklum setiap kesan-kesan sekiranya kontrak yang ditandatangani telah tamat. Walaupun pihak yang terlibat berkontrak tidak lagi terikat dengan kewajipan di bawah kontrak tersebut selepas penamatan kontrak, beberapa perkara harus menjadi perhatian kepada pihak berkontrak.
Antaranya pihak yang telah melanggar kontrak ketika tempoh kontrak masih lagi berkuatkuasa masih perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran apa-apa terma di bawahnya. Perkara yang berhak dituntut kepada pihak yang melanggar kontrak adalah semua kos kerugian yang ditanggung oleh pihak lagi satu termasuk sebarang kos teladan yang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang.
Selain itu, terdapat terma-terma lain yang akan kekal berkuatkuasa walaupun kontrak telah ditamatkan seperti hak untuk meneruskan penggunaan imej (sekiranya ada) dan terma kerahsiaan.
Selain itu juga, sekiranya tempoh masa bagi sesuatu kontrak telah tamat, pihak yang terlibat boleh membuat perundingan semula terma-terma yang baru sebelum memperbaharui kontrak tersebut. - Harta Intelek – Tag Permainan dan Hak Imej Pemain
Harta Intelek ialah satu bentuk monopoli yang diiktiraf undang-undang ke atas hasil kerja atau ciptaan menerusi kreativiti mana-mana entiti ataupun individual termasuk imej seseorang. Undang-undang berkaitan dengan harta intelek di Malaysia ditadbir oleh akta yang berasingan berdasarkan enam (6) cabang utama bagi Harta Intelek iaitu: –
a) Cap Dagangan (Trademark)
b) Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design)
c) Paten (Patent)
d) Hak Cipta (Copyright)
e) Petunjuk Geografi (Geographical Indication)
f) Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design)
Harta Intelek bagi industri sukan elektronik adalah merujuk kepada perkara yang merangkumi kerja-kerja kreatif yang dihasilkan oleh sesuatu pihak dalam pelbagai bentuk termasuk tag permainan dan hak imej seorang pemain. Hak intelek untuk pihak yang terlibat yang berkontrak ini adalah hak komersial yang perlu dihormati dan dipatuhi terma penggunaanya oleh pihak yang lagi satu dan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana pihak tanpa persetujuan empunya harta intelek sepertimana yang tertakluk di bawah undang-undang yang dinyatakan di atas atau undang-undang lain yang terpakai. - Kerahsiaan
Terma kerahsiaan ini penting supaya pihak yang terlibat menghormati sebarang terma komersial atau data-data peribadi yang tidak boleh diumumkan kepada awam bagi melindungi kepentingan sesuatu pihak atau pihak lain atas tuntutan perundangan sedia ada. - Notis
Notis merupakan terma yang perlu ada di dalam setiap kontrak bagi memudahkan pihak yang terlibat menyerahkan apa-apa notis bertulis kepada pihak yang lagi satu mengikut cara penyerahan notis yang telah dipersetujui ke butiran alamat yang dinyatakan di dalam kontrak tersebut. - Pindaan
Untuk mengelakkan sebarang pertikaian, sebarang pindaan kepada terma-terma yang sedia ada yang sudah dipersetujui oleh pihak yang terlibat, hanya boleh dibuat melalui pindaan secara bertulis dan direkodkan persetujuannya oleh pihak yang terlibat melalui kontrak tambahan.
- Panduan kontrak yang disediakan adalah sebagai rujukan bagi transaksi yang melibatkan kontrak di antara kelab dan penganjur acara. Walaubagaimanapun, nasihat guaman professional amat digalakkan sebelum mengguna pakai mana-mana panduan yang telah tersedia. Sebarang penambahan klausa dan/atau penambahbaikan pada panduan kontrak ini adalah secara sukarela
Apa itu NESDEG
Sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia yang lebih terpelihara dan sebagai titik rujukan bagi pemegang taruh di dalam industri ini.
Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”), pelbagai garis panduan telah digariskan untuk membantu meningkatkan dan menggalakkan kesinambungan kecemerlangan sukan elektronik di Malaysia.
NESDEG bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Menerusi kerjasama melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, NESDEG telah dirangka dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor swasta dan wakil kementerian-kementerian.
Apakah matlamat NESDEG?
Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan bertanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Objektif penyediaan NESDEG 2022 ini adalah seperti berikut:
- Memastikan kebajikan dan hak pemain yang merangkumi pelan kerjaya, penajaan dan program pembangunan dilindungi dan ditambahbaik di setiap peringkat.
- Mewujudkan industri sukan elektronik yang bertanggungjawab dan beretika dengan mengambil kira persepsi masyarakat, penglibatan wanita dan kanak-kanak termasuk mengimbangi aktiviti sukan elektronik dengan aktiviti fizikal yang lain.
- Menyediakan struktur pembangunan terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab sukan elektronik di rantau asia.
- Memperkukuh kerjasama strategik antara pemain dan penggiat industri melalui kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
- Mewujudkan ekosistem sukan elektronik yang mengikut standard tadbir urus yang tinggi sekaligus menjadi penanda aras kepada kemajuan ekosistem sukan elektronik di Malaysia.
Terdapat 6 teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop yang penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu:
- Pengurusan Kontrak Pemain
- Tadbir Urus Penganjuran Acara
- Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak
- Tatakelakuan dan Etika
- Garis Panduan Laluan Kerjaya
- Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan di dalam Sukan Elektronik
Teras-Teras NESDEG
Teras 1: Pengurusan Kontrak kepada Pemain
Memastikan pengaplikasian kontrak di antara pemain, kelab, penganjur acara atau mana-mana pihak berkait untuk tujuan penjagaan hak dan tanggungjawab semua pihak yang jelas dan mudah difahami.
Teras 2: Tadbir Urus Penganjuran Acara
Memastikan standard penganjuran yang terbaik bagi semua pertandingan atau acara esukan di setiap peringkat. Pematuhan kepada semua terma dan syarat yang dikeluarkan oleh penerbit permainan termasuk mendapatkan lesen dan penganjuran apa-apa aktiviti esukan yang berkait.
Teras 3: Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak
Memastikan aktiviti esukan yang melibatkan kanak-kanak dikawal sebaiknya untuk memastikan kesejahteraan kesihatan fizikal atau mental kanak-kanak termasuk perkembangan intelektual, emosi, sosial dan tingkah laku.
Teras 4: Kod Tatakelakuan dan Etika
Kod tatakelakuan dan etika ini sebagai panduan peraturan untuk mengawal tingkah laku semua pihak yang terlibat di dalam ekosistem esukan di Malaysia dan bertujuan untuk mempromosi dan membangunkan integriti esukan di seluruh dunia.
Teras 5: Panduan Laluan Kerjaya
Panduan kerjaya kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri esukan.
Teras 6: Aplikasi Sains dan Perubatan Sains
Memberi pendekatan yang mendalam terhadap aplikasi sains dan perubatan sukan dalam memberi nilai tambah terhadap komuniti esukan, untuk memastikan pembangunan bakat yang lebih mampan dan terjaga.
Keenam-enam teras NESDEG 2022 ini bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik dan pengawalan yang lebih berkesan mengenai aktiviti sukan elektronik tertakluk pada perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ianya dirangka berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada di bawah agensi yang berkaitan.
Mana-mana pihak yang terjejas akibat mana-mana keputusan atau tindakan yang berlandaskan kepada panduan dan/atau maklumat berpandukan NESDEG 2022 ini tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi atau pampasan atau mengambil apa-apa tindakan perundangan ke atas Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) atau Kerajaan.
Penglibatan Perangkaan NESDEG
NESDEG ialah kemuncak usahasama oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dengan pihak berkepentingan industri esukan, untuk memastikan keseimbangan dicapai antara mewujudkan rangka kerja kawal selia yang mampan dan kepentingan industri dan komuniti e-sukan Malaysia.
Industri e-sukan dan komuniti mesti bersatu dan menerima cadangan yang dibuat dalam bab NESDEG untuk memastikan semua orang yang terlibat dilindungi.
Pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Sukan Negara (ISN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Sekretariat Industri Sukan (SIS) terlibat dalam sesi pertama penggubalan Kementerian Belia dan Sukan yang bermula pada tahun 2021.
Beberapa penglibatan dan bengkel telah dijalankan selepas itu sepanjang tahun 2022 dengan pelbagai pemegang taruh dari agensi kerajaan dan kementerian seperti dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), penerbit permainan, penganjur acara, pemain profesional, pengaruh esukan, dan pemilik pasukan untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan industri.
Garis Masa NESDEG
GARIS MASA
2021 – Oktober – Disember
Tahap 1: Mengenalpasti Isu dan Membina Agenda
- Rangka awal Garis Panduan Pengawalseliaan Esukan Kebangsaan dibangunkan secara dalaman di peringkat Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) dan inisiatif Esports Integrated (ESI), di bawah Impact Integrated.
- 5 skop awal telah digariskan iaitu Kontrak Atlet, Perlindungan Kanak-Kanak, Acara Esukan, Etika Esukan dan Panduan Kerjaya.
2022 – Januari – Mac
Tahap 2: Penandaarasan dan Penerimaan Input
- Bengkel dalaman bersama-sama agensi-agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Sekretariat Industri Sukan (SIS) dan Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik Kementerian Belia dan Sukan.
- Kerjasama dengan FUTURISE di bawah National Regulatory Sandbox.
- Kerjasama dengan Insitut Sukan Negara (ISN ) bagi Teras 6 – Sains Esukan.
- Penamaan semula Garis Panduan kepada Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG).
2022 – April – Julai
Tahap 3: Fasa Pembangunan dan Perbincangan Kumpulan Fokus
- Draf kedua NESDEG dibangunkan melalui input dan maklumbalas dari 2 bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD).
- Bengkel yang diadakan di ESI Hub bersama-sama hampir 100 peserta dari industri esukan termasuklah wakil pemain, penganjur acara, penerbit permainan, persatuan, pasukan, pihak berwajib dari jabatan dan kementerian berkait berserta pemegang-pemegang taruh yang lain.
2022 – Ogos – Disember
Tahap 4: Penilaian Dalaman dan Penalaan Halus
- Draf ketiga NESDEG dibangunkan dengan input dan penambahbaikan yang diterima dari sesi FGD.
- Mekanisme penerimaan maklumbalas secara online dan melalui kaedah townhall tahunan untuk membincangkan dan menerima penambahbaikan ke draf NESDEG sedia ada.
- Terjemahan draf NESDEG ke Bahasa Inggeris.
2023 – Jun
Tahap 5: Pelancaran Garis Panduan dan Kempen Kesedaran
- Pelancaran NESDEG versi 1 dan laman web NESDEG di ESI Hub.
- Kempen kesedaran umum untuk memastikan elemen-elemen NESDEG disebarkan kepada orang awam.
- Mekanisme maklumbalas untuk menerima input dan penambahbaikan dari komuniti dan orang awam di laman web NESDEG.
2024 – Januari
Tahap 6: Penambahbaikan Berkala
- Untuk memastikan NESDEG kekal relevan, penambahbaikan secara berkala akan dijalankan setiap tahun.
Input dan maklumbalas yang diterima melalui laman web akan dibincangkan di Townhall Tahunan Esukan Kementerian Belia dan Sukan untuk menambahbaik NESDEG bagi versi-versi seterusnya.
Penambahbaikan Berkala
Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan input dan maklum balas dari komuniti dan orang awam untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila ke NESDEG.my dan klik ke laman maklum balas.
Perancangan program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2023.
Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan lebih RM8 juta untuk program-program pada tahun 2023. Program-program ini akan dilaksanakan melalui inisiatif ESI, Majlis Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Bermula pada tahun 2023, inisiatif ESi di bawah Impact Integrated akan menjadi agensi peneraju bagi program-program esukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Di antara program-program dan inisiatif yang bakal berlangsung termasuklah:
- Kempen Kesedaran NESDEG
- Kalendar dan direktori esukan kebangsaan
- Kajian esukan kebangsaan
- ESPORTSCON Malaysia 2023
- Malaysia Esports League 2023 peringkat negeri dan kebangsaan
- Malaysia Esports Championship 2023
- ESI School Challenge bersama MSSM
- Kuasa Orang Muda Esports
- esukan.fm
- MyLadies PUBGM 3.0
- Bengkel Esports Skills 3.0
- Kursus Kejurulatihan Esports Tahap 1
Para penggiat dan peminat industri boleh ke laman web dan laman sosial Kementerian Belia dan Sukan, ESI, MSN dan JBSN untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2023.
Input dan maklum balas daripada orang awam amat maklum balas amat dialu-alukan untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila KLIK di sini.