Teras 3 – Pemantauan Dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak

TERAS 3

PEMANTAUAN DAN PERLINDUNGAN KEPADA KANAK-KANAK

TOPIK 1: KOD TATAKELAKUAN & ETIKA

Pengenalan

Kod tatakelakuan dan etika (“kod etika”) dibangunkan untuk memberi panduan tentang peraturan yang akan mengawal tingkah laku semua pihak yang terlibat di dalam ekosistem sukan elektronik di Malaysia dan sekaligus bertujuan untuk mempromosi dan membangunkan integriti sukan elektronik di seluruh dunia.

Skop & Aplikasi

1. Kod etika ini harus dibaca dan difahami sebagai minimum piawaian kelakuan yang boleh diterima oleh semua pihak.

2. Setiap individu yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik di Malaysia haruslah melaksanakan kewajipannya dengan penuh dedikasi dan berhemat demi kepentingan semua pihak.

3. Setiap individu mempunyai kewajipan untuk mematuhi dan melaporkan sekiranya terdapat pelanggaran kod etika apabila mereka menyedarinya atau beranggapan bahawa wujudnya pelanggaran kod etika oleh mana-mana pihak

4. Kod etika ini terpakai dan boleh digunapakai oleh semua pihak berkepentingan untuk meningkatkan semangat daya saing yang lebih sihat dalam kalangan pemain dan kelab. Kod etika ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa untuk membolehkan semua perkara berbangkit dirangkum mengikut peredaran zaman sebagai panduan kepada semua pihak.

5. Pelanggaran kod etika ini boleh dikenakan tindakan sama ada oleh kelab atau penganjur acara. Pegawai integriti dan etika yang dilantik hendaklah menyemak semua dakwaan pelanggaran kod etika ini dan jika perlu, menjalankan siasatan dan sekatan sementara sehingga penyelesaian penuh untuk tindakan tatatertib diambil.

6. Selain itu, tindakan penguatkuasaan tatatertib akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak menyedari percubaan pihak yang lain untuk menipu pihak lain dengan memberi kenyataan, maklumat atau data yang salah atau palsu.  

Bahagian 1: Tatakelakuan

Kod etika ini memberikan saranan dan panduan kepada pemain-pemain sukan elektronik untuk berkelakuan seperti berikut:

1.1 Menghormati individu lain termasuk pihak media, penonton, rakan kongsi dan pemain-pemain lain;

1.2 Menjaga tingkah laku dalam permainan dan di  ruangan komen  media sosial dan media lain. NESDEG mencadangkan nilai berikut:-

  • Kerjasama
  • Berintegriti
  • Jujur
  • Komited
  • Bermain dengan adil
  • Menghormati
  • Keberanian
  • Berdisiplin tinggi
  • Semangat kesukanan
  • Semangat berpasukan
  • Dan lain-lain nilai murni

1.3 Pemain dilarang untuk terlibat dalam sebarang bentuk gangguan, penghinaan atau ucapan berbaur kebencian. Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • pertuturan kebencian, tingkah laku menyinggung perasaan atau penderaan lisan yang berkaitan dengan jantina, identiti jantina dan ekspresi, orientasi seksual, bangsa, etnik, ketidakupayaan, penampilan fizikal, saiz badan, umur atau agama;
  • mengugut (secara fizikal atau dalam talian) dengan niat memberi ancaman keganasan;
  • spam dan trolling – membuat gangguan aliran di media sosial secara berlebihan dan sia-sia serta menjengkelkan dengan niat untuk menyinggung perasaan termasuklah perkongsian kandungan atau mana-mana pautan yang sensitif dan lucah;
  • menyiarkan atau mengugut untuk menyiarkan maklumat pengenalan peribadi orang lain dengan niat jahat; dan
  • ulasan seksual yang berbentuk lucah atau menghina dan menjatuhkan maruah individu lain yang dikira sebagai gangguan seksual.

Bahagian 2: Tingkah Laku Kesalahan

Bahagian ini termasuk beberapa kemungkinan salah laku oleh peserta yang mungkin berlaku pada acara sukan elektronik. Sila rujuk kepada cadangan untuk pihak berkepentingan yang berkaitan (seperti jawatankuasa integriti esukan dan penganjur acara) yang terlibat untuk mencegah dan menghukum kelakuan tidak wajar seperti berikut.

2.1 Penipuan, Manipulasi dan Rasuah

2.1.1 Terlibat dalam sebarang bentuk kelakuan yang boleh memburukkan industri sukan elektronik atau menjejaskan imej industri kepada masyarakat.

2.1.2 Menerima hadiah wang tunai atau ganjaran (dalam sebarang bentuk) sebagai balasan untuk sebarang perkhidmatan yang bertentangan dengan kod etika ataupun undang-undang.

2.1.3 Menggunakan dana atau tajaan untuk sebarang tujuan yang menyalahi undang-undang, dan terlibat dalam aktiviti kewangan yang menyalahi undang-undang.

2.1.4 Menggunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan atau keuntungan peribadi atau sebarang bentuk manfaat lain sama ada untuk peribadi atau organisasi mereka dan gagal untuk mendedahkan sebarang konflik kepentingan.

2.1.5 Mendedahkan sebarang fakta, data atau maklumat lain yang diamanahkan kepada mereka secara rahsia melainkan tuntutan undang-undang, sebarang pendedahan mana-mana maklumat sedemikian mestilah bukan untuk keuntungan atau faedah peribadi, dan tidak boleh dilakukan dengan niat jahat untuk merosakkan reputasi mana-mana orang lain yang terlibat.

2.1.6 Semua bentuk penipuan termasuk manipulasi dan rasuah dalam aktiviti sukan elektronik termasuk penglibatan dalam sebarang tindakan yang tidak wajar yang mampu mempengaruhi keputusan permainan atau perlawanan dalam apa cara sekalipun adalah dilarang dan akan dihukum.

2.1.7 Sekiranya diketahui oleh penganjur acara bahawa sebarang bentuk penipuan telah digunakan untuk keuntungan pemain atau kelab semasa acara dan perlawanan, penganjur berhak untuk menghukum mereka sepenuhnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

2.1.8 Penggodaman (hack) atau kaedah lain untuk memintas, mengubah suai atau apa jua cara memanipulasi platform dengan niat menipu adalah dilarang. Ini termasuk tetapi tidak terhad  kepada nama, laman sesawang atau logo, seperti profil pemain, profil pasukan, forum, ulasan dan sebagainya.

2.1.9 Dengan melanggar mana-mana peraturan pemain atau kelab berisiko disekat atau dikecualikan sepenuhnya daripada melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti sukan elektronik termasuk perlucutan hak hadiah wang dan denda kewangan (jika perlu).

2.2 Doping atau Percubaan Penggunaan Bahan Terlarang

2.2.1 Setiap pemain termasuk pemain simpanan, secara automatik adalah tertakluk kepada ujian doping. Doping ialah tindakan mengambil bahan tiruan (kebiasaannya adalah bahan terlarang) untuk mendapatkan kelebihan berbanding orang lain dalam pertandingan sukan contohnya steroid anabolik, hormon pertumbuhan manusia, perangsang, diuretik dan lain-lain.

2.2.2 Jika pemain mempunyai preskripsi aktif, yang tersenarai dalam senarai bahan terlarang oleh World Anti-Doping Agency (WADA), pemain perlu menghantar bukti kepada penganjur acara sebelum aktiviti sukan elektronik berlangsung atau apa-apa tarikh yang telah ditetapkan oleh penganjur acara.

2.2.3 Penganjur acara disyorkan untuk membuat sekatan doping kepada semua pemain dan penglibatan pemain dalam aktiviti sukan elektronik adalah bergantung kepada keputusan ujian doping tersebut.

2.2.4 Penganjur acara juga bertanggungjawab untuk menggalakkan kesedaran dan pendidikan tentang anti-doping dalam kalangan semua pemain.

2.2.5 Penganjur acara digalakkan untuk bekerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dari segi pengawalseliaan anti-doping di dalam acara.

Bahagian 3: Prosedur Tatatertib

3.1. Lantikan Pegawai Integriti dan Etika

3.1.1 Sebarang perkara yang berbangkit di bawah kod etika ini hendaklah diuruskan oleh pegawai integriti dan etika yang dilantik oleh pihak bertanggungjawab sebagai badan bebas.

3.1.2 Pegawai integriti dan etika hendaklah mempunyai budi bicara rasional untuk menangani sebarang pertikaian mengikut prinsip dan prosedur yang ditetapkan atau mengikut kewajaran yang paling munasabah untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

3.1.3 Semua maklumat yang diterima oleh pegawai integriti dan etika adalah sangat sulit dan harus dihormati.

3.1.4 Walau bagaimanapun, sekiranya pegawai integriti dan etika sendiri mempunyai sebarang pertikaian atau konflik kepentingan yang berpotensi mempengaruhi keputusan maka beliau hendaklah membuat pengisytiharan tentang konflik tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.

3.2 Pengurusan Aktiviti Sukan Elektronik

3.2.1 Penganjur acara bertanggungjawab untuk memastikan setiap aktiviti sukan elektronik dijalankan mengikut peraturan sehingga selesai dan keputusan bagi setiap aktiviti sukan elektronik diumumkan dengan telus tanpa bantahan oleh mana-mana pihak.

3.2.2 Penganjur acara juga berhak untuk menyelaras nama panggilan atau alias profil, jika pemain atau kelab gagal mematuhi peraturan berkenaan tag nama  yang telah ditetapkan.

3.2.3 Nama panggilan/alias adalah dilarang sekiranya :-

  • bercanggah dengan hak pihak ketiga dan pengguna tidak mempunyai kebenaran bertulis; atau
  • menyerupai atau sama dengan jenama atau cap dagangan; atau
  • menyerupai atau serupa dengan orang sebenar selain diri mereka sendiri.

3.2.4 Sebarang nama panggilan/nama pasukan/alias yang bersifat memfitnah, menghina, menyinggung perasaan, kesat, lucah atau nama yang menghasut kebencian atau menyinggung budi pekerti yang baik adalah dilarang.

3.2.5 Penganjur acara juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap pemain tidak dibenarkan membuat pertaruhan dalam sebarang aktiviti sukan elektronik. Sekiranya pemain atau kelab melanggar peraturan ini, mereka akan dilucutkan kelayakan dan mungkin menghadapi hukuman lanjut, termasuk kehilangan kelayakan daripada terlibat dalam mana-mana aktiviti sukan elektronik yang lain.

3.2.6 Bagi memastikan ketulusan aktiviti dalam sukan elektronik, pihak penganjur acara bertanggungjawab untuk memastikan tiada penyalahgunaan pepijat atau peranti pada laman sesawang atau aplikasi yang boleh memanipulasi proses atau keputusan.

3.2.7 Dapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga secara bertulis untuk penjaga gantian (loco parentis) terutamanya jika timbul keperluan untuk memberi pertolongan kecemasan atau rawatan perubatan lain (sila rujuk Lampiran 3.1 untuk contoh borang).

3.3  Pengurusan Konflik Kepentingan

3.3.1 Konflik kepentingan ialah situasi di mana kepentingan peribadi seseorang individu bertentangan dengan kepentingan profesional sebagai pemain atau kelab atau penganjur kepada aktiviti esukan tersebut. Konflik kepentingan merangkumi sebelum, semasa dan selepas sesuatu aktiviti sukan elektronik dijalankan.

3.3.2 Secara umumnya, konflik kepentingan akan timbul di mana kemampuan seseorang untuk melaksanakan tugas dengan amanah serta tidak berat sebelah berpotensi dijejaskan oleh pertimbangan dan hubungan peribadi.  

Antara faktor yang menjurus kepada konflik kepentingan adalah:   :

  • penglibatan peribadi secara langsung dan tidak langsung dengan atau pelantikan mana-mana individu yang mempunyai pengaruh kepada mana-mana aktiviti sukan elektronik.; atau
  • penglibatan ahli keluarga atau individu yang mempunyai hubungan peribadi dengan mana-mana individu yang mempunyai pengaruh kepada mana-mana aktiviti sukan elektronik.; atau
  • pekerjaan atau penglibatan yang mungkin memberi kesan  kepada prestasi atau kecekapan seseorang individu terhadap tugasnya

3.3.3 Sekiranya terdapat konflik yang boleh membawa implikasi kepada ketulusan sesuatu aktiviti sukan elektronik, individu tersebut disarankan untuk dikeluarkan daripada mana-mana proses, yang meliputi hal-hal berikut:

  • menghindari penglibatan dalam proses yang menyebabkan konflik kepentingan timbul;
  • menyusun semula tugas dan tanggungjawab supaya tidak bertentangan dengan kepentingan peribadi;
  • mengehadkan akses kepada maklumat dan dokumen penting; dan
  • menarik hak untuk sebarang perbincangan termasuk pengundian untuk membuat apa-apa keputusan.

TOPIK 2: PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

Pengenalan

Bahagian ini akan memberi hala tuju yang jelas tentang jangkaan dan komitmen untuk menjaga dan mempromosi kebajikan dan kesejahteraan pemain esukan. Garis panduan ini terpakai kepada semua pemain, pengurus pasukan, penganjur acara, sukarelawan, penonton dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri esukan.

Skop & Aplikasi

1. Memperakukan bahawa penglibatkan kanak-kanak dalam aktiviti sukan elektronik perlu dihormati dan diberi perlindungan.

2. Menggalakkan kanak-kanak untuk turut serta dalam menyumbang secara positif ke arah membentuk keluarga sukan elektronik yang mampan.

3. Menggalakkan kanak-kanak untuk terlibat dalam aktiviti sukan elektronik tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain.

4. Memastikan aktiviti sukan elektronik yang melibatkan kanak-kanak dikawal sebaiknya. Kegagalan pihak berkepentingan untuk memantau aktiviti sukan elektronik, boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak termasuk perkembangan intelektual, emosi, sosial dan tingkah laku.

5. Memastikan aktiviti sukan elektronik di Malaysia diperkukuh dengan pencapaian sifar penderaan seksual, fizikal dan emosi serta eksploitasi (selepas ini akan dirujuk sebagai “Penderaan”).

Bahagian 1: Peranan dan Tanggungjawab

Setiap individu yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik bertanggungjawab untuk mengawal interaksi kanak-kanak bagi tujuan melindungi keselamatan mereka.

1.1 Semua Pihak Dilarang Berinteraksi seperti berikut:

1.1.1 Percakapan yang bersifat seksual, membuat gurauan atau sindiran seksual, atau terlibat dalam tingkah laku yang tidak sesuai atau tidak senonoh secara seksual kepada kanak-kanak.

1.1.2 Tingkah laku yang kasar di hadapan kanak-kanak seperti penyalahgunaan lisan, memukul, menumbuk atau tindakan fizikal bahaya yang lain.

1.1.3 Interaksi berterusan secara individu dan bersemuka (one-to-one) di suatu ruangan tertutup yang tidak dapat diperhati dan diawasi oleh orang dewasa atau kakitangan-kakitangan lain.

1.1.4 Interaksi fizikal mana-mana orang dewasa yang tidak dikenali dan tidak mempunyai hubungan keluarga dengan kanak-kanak tersebut.

1.1.5 Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik termasuk seorang kanak-kanak tidak boleh melakukan sebarang kegiatan seksual, membuat komen-komen seksual, menceritakan gurauan yang berunsur seksual, atau memberikan komen tentang anggota tubuh badan orang lain dengan niat yang tidak baik.

1.1.6 Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik, termasuk kanak-kanak, dilarang berkongsi bahan secara eksplisit yang berunsur seksual atau keganasan. Mereka juga tidak boleh membantu, dalam apa jua cara termasuk memberikan akses kepada bahan tersebut kepada kanak-kanak lain di bawah umur, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

1.1.7 Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik termasuk  kanak-kanak tidak boleh terlibat dalam perbualan-perbualan yang boleh menjurus kepada keganasan, seksual atau sensitif.

1.1.8 Orang dewasa tidak boleh melibatkan kanak-kanak di bawah umur untuk terlibat dalam perbualan-perbualan kecuali ianya melibatkan topik seperti pendidikan, programatik, teknikal atau profesional.

1.2. Pengurus Kelab Pasukan Bertanggungjawab untuk:

1.2.1 Memastikan para jurulatih, pengurus pasukan dan kakitangan yang dilantik  termasuk kakitangan sementara untuk menjaga, mengendali dan memantau kanak-kanak dalam sesuatu kelab pasukan tidak mempunyai sejarah jenayah seksual dan fizikal atau mempunyai corak tingkah laku yang boleh menunjukkan bahawa mereka mungkin berbahaya kepada kanak-kanak.

1.2.2 Menilai dan mengenal pasti risiko yang dapat mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya sebelum memulakan apa-apa aktiviti sukan elektronik. Penilaian dan pengenalpastian risiko membolehkan pengurus pasukan kelab untuk lebih bersedia meletakkan langkah-langkah untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur dan bertindak balas dengan cepat dan berkesan.

1.2.3 Adalah disyorkan bahawa proses penilaian dan pengenalpastian risiko didokumentasi dengan baik serta langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi risiko-risiko ini dijadikan rujukan dalam aktiviti sukan elektronik pada masa akan datang dan jika diperlukan oleh pihak-pihak berkuasa.

1.2.4 Sentiasa memberi pendedahan kepada semua pihak termasuk kanak-kanak tentang pentingnya berinteraksi menggunakan tingkah laku yang betul dan menerapkan nilai murni supaya kanak-kanak juga lebih peka tentang interaksi yang tidak bersesuaian terhadap diri mereka.

1.2.5 Memastikan sesi latihan dan bimbingan daripada orang dewasa kepada  kanak-kanak di bawah umur dijalankan di kawasan yang terbuka dan boleh dilihat bagi meminimumkan sebarang kelakuan yang tidak sopan dilakukan kepada kanak-kanak tersebut.

1.2.6 Sekiranya terdapat apa-apa tanda penderaan atau yakin serta percaya bahawa wujudnya satu bentuk penderaan yang telah dilakukan oleh mana-mana pihak kepada kanak-kanak walaupun tanpa mempunyai bukti yang kukuh, perlu  membuat laporan terus dan segera kepada pihak berkuatkuasa.

1.3. Penganjur Acara Sukan Elektronik Digalakkan untuk:

1.3.1 Memaklumkan dan mempamerkan kod tatakelakuan dan etika (sila rujuk Teras 3: Topik 1) sebelum dan sewaktu aktiviti sukan elektronik dijalankan:

1.3.2 Melakukan sesi taklimat wajib sebelum bermulanya sebarang aktiviti sukan elektronik mengenai tingkah laku yang betul, termasuk menerangkan tentang kod tatakelakuan dan etika.

1.3.3 Memastikan mekanisme pemantauan dan bilangan kakitangan yang hadir semasa aktiviti sukan elektronik mempunyai latar belakang yang bersih dan mencukupi dengan bilangan peserta yang hadir.

1.3.4 Memastikan setiap kawalan keselamatan diperketat bagi memastikan tiada pencerobohan daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

1.3.5 Meminimumkan aktiviti sukan elektronik yang mempunyai kontak fizikal di antara peserta yang berada di lingkungan umur yang dianggap sebagai tidak sesuai, atau tidak akan menjadi selesa kepada peserta kanak-kanak.

1.3.6 Tidak mengambil gambar atau merekodkan filem atau menyebarkan identiti kanak-kanak ketika aktiviti sukan elektronik tanpa persetujuan yang nyata daripada ibu bapa atau penjaga.  Sebarang persetujuan dari ibu bapa atau penjaga harus direkodkan secara bertulis.

1.3.7 Menggalakkan ibu bapa atau penjaga untuk turut menemani kanak-kanak tersebut sekiranya terdapat sebarang aktiviti sukan elektronik di luar kawasan dan menyediakan penginapan yang sewajarnya.

1.3.8 Sekiranya terdapat apa-apa tanda penderaan atau yakin serta percaya bahawa wujudnya satu bentuk penderaan yang telah dilakukan oleh mana-mana pihak kepada kanak-kanak yang disedari walaupun tanpa mempunyai bukti yang kukuh, perlu harus membuat laporan terus dan segera kepada pihak berkuatkuasa.

1.3.9 Penganjur acara dan pengurus kelab pasukan harus memastikan bahawa alkohol, aktiviti perjudian dan bahan-bahan lain yang menyalahi undang-undang tidak dibawa ke kawasan aktiviti sukan elektronik dan dilarang untuk menjadi penaja untuk mana-mana pemain, kelab pasukan atau aktiviti sukan elektronik.  Individu yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik adalah dilarang daripada memiliki, atau berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

1.4 Tanggungjawab Ibu Bapa dan Penjaga bagi Pemain Bawah Umur:

Untuk kanak-kanak atau remaja dibawah umur, ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan penting dalam pemantauan dan pengawasan keadaan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menceburi bidang sukan elektronik.

1.4.1 Memantau Kandungan Permainan: Ibu bapa atau penjaga harus memantau jenis permainan yang dimainkan oleh anak-anak mereka untuk memastikan ia sesuai dengan umur dan tidak mengandungi kandungan yang berbahaya seperti keganasan yang berlebihan, tema seksual, atau bahasa yang tidak sesuai.

1.4.2 Menjadualkan  Had Masa: Penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk menjadualkan had masa yang munasabah untuk anak mereka bermain bagi mengelakkan masa skrin yang berlebihan, yang boleh membawa kepada masalah seperti prestasi akademik yang merosot, gangguan tidur, dan masalah kesihatan fizikal.

1.4.3 Menggalakkan Gaya Hidup Seimbang: Ibu bapa atau penjaga harus menggalakkan anak-anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup seimbang dengan mempromosikan aktiviti lain, seperti bermain di luar, bersukan, membaca, dan bersosial dengan rakan-rakan di luar talian, untuk mengelakkan kehidupan anak-anak mereka daripada didominasi oleh permainan dalam talian.

1.4.4 Mengajar Literasi Digital: Ibu bapa atau penjaga perlu mendidik anak-anak mereka tentang keselamatan dalam talian, termasuk mengenali dan mengelakkan buli siber, melindungi maklumat peribadi, dan memahami risiko berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali dalam talian.

1.4.5 Peka Terhadap Perubahan Tingkah Laku: Ibu bapa atau penjaga harus berwaspada terhadap sebarang perubahan dalam tingkah laku anak mereka seperti peningkatan ke arah personaliti yang lebih agresif dan ganas, pengasingan sosial, atau penurunan prestasi akademik yang boleh menunjukkan tabiat bermain yang bermasalah.

1.4.6 Mengekalkan Komunikasi Terbuka: Mewujudkan saluran komunikasi yang terbuka adalah penting. Ibu bapa atau penjaga perlu kerap membincangkan pengalaman permainan yang dimainkan oleh anak mereka, mendengar kebimbangan mereka, dan bersikap mesra jika anak mereka menghadapi sebarang masalah dalam talian.

1.4.7 Menjadi Contoh Teladan yang Baik: Ibu bapa atau penjaga boleh menjadi contoh yang baik dengan menunjukkan tabiat skrin yang sihat, seperti menghadkan masa skrin mereka sendiri, terlibat dalam aktiviti sosial yang sihat, dan mengamalkan kawalan diri.

1.4.8 Memantau Kesihatan Fizikal dan Mental: Ibu bapa atau penjaga perlu menyedari kesan bermain sukan elektronik kepada fizikal (mata, telinga dan postur) dan mental, jika tiada pemantauan  dan panduan yang betul.

1.4.9 Mendapatkan Bantuan Profesional Jika Perlu: Jika ibu bapa atau penjaga menyedari tanda-tanda masalah kesihatan fizikal, mental atau isu serius lain yang berkaitan dengan tabiat anak mereka dalam bermain permainan dalam talian, mereka tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan bantuan daripada profesional, seperti doktor, ahli psikologi atau kaunselor, yang boleh memberi panduan dan sokongan.

Bahagian 2: Prosedur Pencegahan

Semua pihak disyorkan untuk menangani sebarang isu sensitif dengan mempertimbangkan konteks dan situasi yang timbul, serta mengambil kira pandangan holistik dengan menyiasat pelbagai faktor persekitaran yang mungkin berlaku sebagai ancaman kepada keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

2.1 Latihan Kepada Pengurus Pasukan Dan Penganjur Acara

Sebelum acara, semua ahli pengurusan kelab dan penganjur acara termasuk pekerja, pengurus pasukan, kakitangan, kru sementara (freelancer) dan sukarelawan harus dilatih mengenai polisi dan isu yang berkaitan dengan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.  

Latihan ini disarankan untuk dijalankan oleh profesional terutamanya pakar dalam bidang perundangan yang melibatkan hak kanak-kanak ataupun pakar psikologi yang mahir tentang emosi dan kesejahteraan kanak-kanak. Latihan tersebut perlu merangkumi proses dan tindakan seperti berikut:

  • Mengesan dan melaporkan penderaan atau pengabaian kanak-kanak;
  • Menguruskan dan memahami tingkah laku kanak-kanak;
  • Prosedur-prosedur tatatertib;
  • Mengenal pasti bentuk gangguan fizikal, mental, dan seksual atau gangguan lain-lain yang menyalahi undang-undang;
  • Memahami proses untuk mendapatkan persetujuan daripada ibu bapa dan penjaga;
  • Cara yang sesuai untuk bertindak balas kepada laporan-laporan penderaan dan/atau gangguan dengan cepat dan cekap;
  • Protokol keselamatan dan sekuriti; dan
  • Prosedur melaporkan jenayah kepada pihak berkuasa.

2.2 Had Akses kepada Individu Tertentu

Penganjur acara dan pengurus kelab pasukan digalakkan untuk memperkenalkan kaedah dan peraturan-peraturan yang mengehadkan akses kepada individu tertentu yang mungkin dapat menimbulkan sebarang bentuk kemudaratan kepada kanak-kanak.

2.2.1 Kaedah dan peraturan-peraturan ini termasuk menghalang mereka yang mempunyai sejarah dalam serangan seksual, penderaan, gangguan dan lain-lain yang serupa dalam mengambil bahagian dalam aktiviti sukan elektronik yang melibatkan kanak-kanak.

2.2.2 Kaedah dan peraturan-peraturan yang disediakan seharusnya tidak menimbulkan sebarang bentuk pertikaian dan salah faham. Alasan dan ulasan yang menghalang akses seseorang perlu difailkan untuk rujukan pihak yang berwajib.

2.3 Taklimat

Pihak yang bertanggungjawab harus menyampaikan taklimat kepada semua peserta dan kanak-kanak mengenai cara-cara untuk berinteraksi dengan betul di antara satu sama lain termasuk mekanisme membuat laporan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Taklimat ini digalakkan untuk dilakukan oleh seorang profesional.

2.3.1 Taklimat ini wajib dilakukan sebelum setiap aktiviti sukan elektronik dan  peringatan juga harus dikeluarkan untuk memastikan pematuhan pada tahap yang maksimum.

2.3.2 Semua pihak yang terlibat wajib mengetahui dan memahami objektif kandungan-kandungan taklimat tersebut dan menandatangani suatu senarai kehadiran atau suatu perisytiharan bahawa mereka hadir semasa taklimat dan memahami kandungannya.

2.3.3 Taklimat tersebut haruslah disampaikan dengan cara yang dapat difahami oleh semua yang hadir termasuk oleh kanak-kanak, dan boleh mempertimbangkan penyampaian taklimat dalam pelbagai bahasa untuk memenuhi keperluan setiap peserta.

2.3.4 Mekanisme untuk membuat laporan haruslah diterangkan dengan jelas termasuk laporan mengenai pelanggaran tatakelakuan dan tindakan yang akan diambil terhadap pelanggaran tersebut.

2.4 Pemantauan

Pihak yang bertanggungjawab harus memantau aktiviti sukan elektronik yang dilakukan sama ada secara fizikal ataupun dalam talian secara aktif.

Aktiviti pemantauan ini adalah penting untuk memastikan bahawa kanak-kanak tidak  mempunyai risiko untuk dicederakan atau berada dalam keadaan yang membahayakan emosi dan fizikal mereka.

Pihak yang bertanggungjawab harus memastikan bahawa:

  • Kanak-kanak tidak dibiarkan tanpa pengawasan;
  • Kanak-kanak tidak terdedah kepada kandungan yang berbahaya dan berunsurkan seksual;
  • Kanak-kanak tidak terdedah dengan alkohol, rokok, dan bahan-bahan terlarang yang lain;
  • Berinteraksi dengan mana-mana individu dengan cara yang tidak sesuai seperti perbualan berunsur seksual dan sentuhan yang tidak sesuai;
  • Berinteraksi dengan mana-mana individu yang tidak mempunyai kaitan dengan kanak-kanak tersebut dan berinteraksi tentang hal peribadi di kawasan tertutup yang tidak dapat diawasi; dan
  • Bagi aktiviti sukan elektronik dalam talian, memastikan bahawa komen dan perbualan orang awam ditapis sekiranya sensitif dan tidak sesuai kepada kanak-kanak.

2.5 Persetujuan Bertulis Daripada Ibu Bapa/ Penjaga

Pengurus kelab pasukan dan penganjur acara wajib mendapat persetujuan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak tersebut sebelum kanak-kanak tersebut dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti sukan elektronik.

Borang kebenaran harus disediakan oleh pengurusan kelab pasukan untuk ditandatangani oleh ibu bapa dan penjaga sebagai bukti rekod persetujuan penglibatan kanak-kanak tersebut di dalam aktiviti sukan elektronik yang dianjurkan. Sila rujuk Lampiran 3.2 untuk contoh borang kebenaran.

2.6 Data Peribadi

Notis privasi yang jelas harus disediakan oleh pihak yang menganjurkan sebarang aktiviti sukan elektronik untuk membolehkan semua peserta, termasuk kanak-kanak yang diwakili oleh ibu bapa atau penjaganya memahami berkenaan hak data peribadi mereka yang dikongsi kepada mana-mana pihak yang terlibat bagi aktiviti sukan elektronik.

Pihak yang mengumpul dan memproses data yang diberikan kepada mereka harus peka dan sensitif terhadap data yang dikumpulkan serta wajib untuk mendapatkan persetujuan secara bertulis daripada ibu bapa atau penjaga bagi pemilik data yang merupakan kanak-kanak sebelum memproses data tersebut bagi apa-apa tujuan. Sekiranya pihak yang mengumpul dan memproses data mendapati bahawa mereka mengumpul dan memproses data peribadi kanak-kanak tanpa pengesahan dan persetujuan ibu bapa atau penjaga, maka pihak tersebut harus memadamkan data peribadi tersebut.

Ini adalah untuk memastikan bahawa data peribadi ini tidak disalah guna  atau dijual kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan persetujuan pemilik data.

Selain itu juga, pengumpul data harus bertanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka melindungi identiti dan memastikan kerahsiaan yang telus.

Bahagian 3: Mekanisme Aduan

Mekanisme aduan adalah penting untuk memastikan bahawa individu dapat melaporkan sebarang kecurigaan yang melibatkan kanak-kanak atau sebarang kejadian kemudaratan yang dilakukan terhadap peserta atau pemain kanak-kanak.

3.1 Pihak yang Terlibat

3.1.1 Tindakan yang akan diambil hendaklah dipaparkan dan disampaikan secara jelas kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik sekiranya terdapat laporan yang telah dibuat.

3.1.2 Laporan yang dibuat juga harus disampaikan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang elemen pelanggaran undang-undang dan tingkah laku jenayah.

3.1.3 Penganjur acara atau pihak-pihak yang berkaitan harus menyediakan talian telefon, alamat emel, atau sistem aduan dalam talian khusus. Selain itu, disarankan juga untuk melantik individu terlatih yang bertanggungjawab untuk bertindak balas dan menyiasat laporan-laporan yang dihantar melalui saluran khusus dengan cepat dan profesional.

3.2 “Whistleblowing”

3.2.1 Whistleblowing merujuk kepada tindakan seseorang melaporkan atau mendedahkan salah laku, penyelewengan, atau perbuatan tidak beretika yang berlaku di dalam sebuah organisasi. Orang yang membuat laporan ini dikenali sebagai “whistleblower“.

Contoh kesalahan yang dilaporkan melalui whistleblowing:

  1. Penyelewengan kewangan;
  2. Rasuah;
  3. Pencabulan undang-undang atau polisi syarikat;
  4. Pelanggaran hak asasi manusia atau diskriminasi;
  5. Gangguan seksual atau eksploitasi.

3.2.2 Jika mana-mana pihak mempunyai sebarang kebimbangan tentang kelakuan oleh pihak yang lain di dalam sesebuah organisasi atau kelab sukan elektronik, mereka mempunyai kewajipan untuk membuat  laporan kepada pihak berkuasa atau agensi yang relevan.

3.2.3  Mereka yang membuat dakwaan, tidak akan didiskriminasi dalam apa cara sekalipun, dan prosedur tatatertib tidak akan dikenakan terhadap mereka yang membuat dakwaan.

3.2.4  Mereka yang memberi maklumat akan diberi perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) iaitu perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.

3.3 Laporan dan Proses Sekiranya Terdapat Kemungkinan Pelanggaran Undang-Undang

3.3.1  Mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan elektronik yang menerima apa-apa laporan harus menyampaikan laporan dengan segera kepada pegawai perlindungan atau pihak bertanggungjawab bagi tujuan siasatan.

3.3.2  Makluman yang segera juga hendaklah dibuat kepada ibu bapa dan penjaga mangsa (atau dipercayai menjadi mangsa) mengenai sesuatu laporan yang telah dibuat.

3.3.3 Memastikan kanak-kanak atau orang dewasa yang membuat laporan tidak meneruskan siasatan secara persendirian. Mereka boleh melaporkan sebarang kebimbangan kepada pihak yang berkuasa walaupun mereka tidak pasti sama ada ia perlu dilaporkan atau tidak. Pihak yang berkuasa akan meneruskan siasatan yang sewajarnya.

3.3.4 Pihak yang terlibat dalam proses penerimaan laporan dan siasatan wajib peka terhadap perasaan mangsa dan ahli keluarga, serta tidak mencanangkan maklumat sulit laporan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Pegawai penyiasat yang terlibat dalam proses percakapan dengan mangsa harus lebih sensitif terhadap keadaan mangsa dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik untuk mengawal situasi dan berinteraksi dengan mangsa. Berikut adalah antara tingkah laku yang tidak sesuai apabila berinteraksi dengan mangsa kanak-kanak termasuk;

  • Menuduh mangsa berbohong;
  • Membuat gurauan yang tidak sesuai dengan niat untuk mengejek;
  • Meyakinkan mangsa bahawa kemudaratan yang dilakukan terhadap mereka bukanlah masalah besar;
  • Memaksa mangsa untuk memberikan lebih banyak perincian yang tidak wajar diminta;
  • Memaksa atau meyakinkan mangsa untuk menarik balik laporan yang telah dibuat; dan
  • Meminta mangsa untuk tidak memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga atau individu dewasa yang dipercayai.
FAQ NESDEG
Teras 3

Sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia yang lebih terpelihara dan sebagai titik rujukan bagi pemegang taruh di dalam industri ini.

Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”), pelbagai garis panduan telah digariskan untuk membantu meningkatkan dan menggalakkan kesinambungan kecemerlangan sukan elektronik di Malaysia.

NESDEG bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Menerusi kerjasama melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, NESDEG telah dirangka dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor swasta dan wakil kementerian-kementerian.

Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan bertanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

 

Objektif penyediaan NESDEG 2022 ini adalah seperti berikut:

  1. Memastikan kebajikan dan hak pemain yang merangkumi pelan kerjaya, penajaan dan program pembangunan dilindungi dan ditambahbaik di setiap peringkat.
  2. Mewujudkan industri sukan elektronik yang bertanggungjawab dan beretika dengan mengambil kira persepsi masyarakat, penglibatan wanita dan kanak-kanak termasuk mengimbangi aktiviti sukan elektronik dengan aktiviti fizikal yang lain.
  3. Menyediakan struktur pembangunan terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab sukan elektronik di rantau asia.
  4. Memperkukuh kerjasama strategik antara pemain dan penggiat industri melalui kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
  5. Mewujudkan ekosistem sukan elektronik yang mengikut standard tadbir urus yang tinggi sekaligus menjadi penanda aras kepada kemajuan ekosistem sukan elektronik di Malaysia.

Terdapat 6 teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop yang penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu:

  1. Pengurusan Kontrak Pemain
  2. Tadbir Urus Penganjuran Acara
  3. Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak
  4. Tatakelakuan dan Etika
  5. Garis Panduan Laluan Kerjaya
  6. Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan di dalam Sukan Elektronik

Teras 1: Pengurusan Kontrak kepada Pemain 

Memastikan atlet esukan mempunyai kontrak yang jelas, adil, dan mematuhi undang-undang. Ia meliputi elemen penting seperti tanggungjawab, hak, terma kewangan, hak harta intelek, dan syarat penamatan untuk mewujudkan persekitaran profesional dan selamat bagi pemain.

 

Teras 2: Tadbir Urus Penganjuran Acara 

Menetapkan standard tadbir urus untuk kejohanan esukan. Ia memberi tumpuan kepada mengekalkan keadilan, integriti, akauntabiliti dan pengurusan risiko melalui peraturan berstruktur, langkah anti-doping, dan pematuhan kepada piawaian tempatan dan antarabangsa.

 

Teras 3: Kod Tatakelakuan dan Etika & Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak Kanak

Mempromosi dan membangunkan integriti permainan dan perlindungan kanak-kanak. Teras ini mempunyai dua aspek utama: 

(i) Kod Tatakelakuan dan Etika yang menetapkan peraturan untuk mengawal tingkah laku semua pihak yang terlibat bagi mempromosi dan membangunkan integriti esukan.

 (ii) Perlindungan kanak-kanak yang memberi hala tuju yang jelas tentang jangkaan dan komitmen untuk menjaga dan mempromosi kebajikan dan kesejahteraan pemain esukan.

 

Teras 4: Panduan Kewangan Esukan 

Memberi panduan tentang gambaran pengurusan kewangan dan strategi pengurusan dalam industri esukan. Panduan ini mengandungi cadangan untuk menguruskan aliran pendapatan, jalinan kerjasama dengan rakan kongsi, dasar sokongan dan inisiatif cukai.

 

Teras 5: Panduan Laluan Kerjaya & Penganjuran Di Sekolah

Memberikan laluan kerjaya yang jelas serta panduan untuk penganjuran program esukan di sekolah. Teras ini mempunyai dua bahagian utama: 

(i) Panduan laluan kerjaya esukan bagi membina laluan kerjaya yang lebih jelas dan terancang bagi pelbagai pekerjaan dalam industri esukan. 

(ii) Panduan penganjuran esukan di sekolah yang Menunjukkan panduan pemudah cara yang dicipta untuk mereka yang berminat untuk memperkenalkan esukan di peringkat sekolah. 

 

Teras 6: Aplikasi Sains dan Perubatan Sains

Menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental dalam esukan. Ia termasuk panduan amalan terbaik dalam penjagaan kesihatan, pencegahan kecederaan, jadual latihan, dan sokongan psikologi untuk mengoptimumkan prestasi dan ketahanan pemain.

NESDEG ialah kemuncak usahasama oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dengan pihak berkepentingan industri esukan, untuk memastikan keseimbangan dicapai antara mewujudkan rangka kerja kawal selia yang mampan dan kepentingan industri dan komuniti e-sukan Malaysia.

Industri e-sukan dan komuniti mesti bersatu dan menerima cadangan yang dibuat dalam bab NESDEG untuk memastikan semua orang yang terlibat dilindungi.

Pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Sukan Negara (ISN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Sekretariat Industri Sukan (SIS) terlibat dalam sesi pertama penggubalan Kementerian Belia dan Sukan yang bermula pada tahun 2021.

Beberapa penglibatan dan bengkel telah dijalankan selepas itu sepanjang tahun 2022 dengan pelbagai pemegang taruh dari agensi kerajaan dan kementerian seperti dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), penerbit permainan, penganjur acara, pemain profesional, pengaruh esukan, dan pemilik pasukan untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan industri.

GARIS MASA

 

2021 – Oktober – Disember

Tahap 1: Mengenalpasti Isu dan Membina Agenda

  • Rangka awal Garis Panduan Pengawalseliaan Esukan Kebangsaan dibangunkan secara dalaman di peringkat Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) dan inisiatif Esports Integrated (ESI), di bawah Impact Integrated.
  • 5 skop awal telah digariskan iaitu Kontrak Atlet, Perlindungan Kanak-Kanak, Acara Esukan, Etika Esukan dan Panduan Kerjaya.

 

2022 – Januari – Mac

Tahap 2: Penandaarasan dan Penerimaan Input

  • Bengkel dalaman bersama-sama agensi-agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Sekretariat Industri Sukan (SIS) dan Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik Kementerian Belia dan Sukan.
  • Kerjasama dengan FUTURISE di bawah National Regulatory Sandbox.
  • Kerjasama dengan Insitut Sukan Negara (ISN ) bagi Teras 6 – Sains Esukan.
  • Penamaan semula Garis Panduan kepada Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG).

 

2022 – April – Julai

Tahap 3: Fasa Pembangunan dan Perbincangan Kumpulan Fokus

  • Draf kedua NESDEG dibangunkan melalui input dan maklumbalas dari 2 bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD).
  • Bengkel yang diadakan di ESI Hub bersama-sama hampir 100 peserta dari industri esukan termasuklah wakil pemain, penganjur acara, penerbit permainan, persatuan, pasukan, pihak berwajib dari jabatan dan kementerian berkait berserta pemegang-pemegang taruh yang lain.

 

2022 – Ogos – Disember

Tahap 4: Penilaian Dalaman dan Penalaan Halus

  • Draf ketiga NESDEG dibangunkan dengan input dan penambahbaikan yang diterima dari sesi FGD.
  • Mekanisme penerimaan maklumbalas secara online dan melalui kaedah townhall tahunan untuk membincangkan dan menerima penambahbaikan ke draf NESDEG sedia ada.
  • Terjemahan draf NESDEG ke Bahasa Inggeris.

 

2023 – Jun

Tahap 5: Pelancaran Garis Panduan dan Kempen Kesedaran

  • Pelancaran NESDEG versi 1 dan laman web NESDEG di ESI Hub.
  • Kempen kesedaran umum untuk memastikan elemen-elemen NESDEG disebarkan kepada orang awam.
  • Mekanisme maklumbalas untuk menerima input dan penambahbaikan dari komuniti dan orang awam di laman web NESDEG.

 

2024 – November

Tahap 6: Penambahbaikan Berkala

  • Teras 3 Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak & Teras 4 Kod Tatakelakuan dan Etika telah digabungkan kepada Teras 3 dan disatukan menjadi Kod Tatakelakuan dan Etika & Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak
  • Teras 4 telah ditambah dan menampilkan tajuk baru iaitu Panduan Kewangan Esukan
  • Teras 5 memperkenalkan tajuk baru iaitu Panduan Laluan Kerjaya & Panduan Esukan di Sekolah

Untuk memastikan NESDEG kekal relevan, penambahbaikan secara berkala akan dijalankan setiap tahun. Input dan maklum balas yang diterima melalui laman sesawang NESDEG akan dibincangkan di Tonwhall Tahunan Esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi mendapatkan maklum balas secara terbuka untuk versi-versi NESDEG seterusnya.

Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan input dan maklum balas dari komuniti
dan orang awam bagi memastikan NESDEG kekal relevan dan efektif. Sekiranya
anda ingin memberikan maklum balas, sila ke NESDEG.my dan klik ke laman
maklum balas.

Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan lebih RM8 juta untuk program-program pada tahun 2024. Program-program ini akan dilaksanakan melalui inisiatif ESI, Majlis Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Negara. 

 

Bermula pada tahun 2024, inisiatif ESI di bawah Impact Integrated akan menjadi agensi peneraju bagi program-program esukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

 

Di antara program-program dan inisiatif yang bakal berlangsung termasuklah:

  • Jelajah NESDEG 
  • Townhall Tahunan Esukan KBS
  • Malaysia Esports League 2024 
  • Kajian Esukan Kebangsaan 
  • Kalendar, Direktori dan Sistem Ranking esukan kebangsaan
  • KBS Masters Games 2024 
  • esukan.fm 
  • ESI Masterclass 2024
  • Dana Esukan KBS 2024 
  • Konvensyen Esukan 2024
  • Bengkel Penyediaan Atlet Bersara
  • Jelajah Juara Esukan
  • Kejohanan KBS MyLadies Esports 4.0 
  • Kejohanan Esukan Hari Sukan Negara 2024
  • Sukarelawan Esukan 2024
  • Pembangunan Modul Kejurulatihan Esukan

 

Para penggiat dan peminat industri boleh ke laman web dan laman sosial Kementerian Belia dan Sukan, ESI, MSN dan JBSN untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2024.

BERIKAN MAKLUMBALAS ANDA

Input dan maklum balas daripada orang awam amat maklum balas amat dialu-alukan untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila KLIK di sini.

HUBUNGI KAMI

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

MINISTRY OF YOUTH AND SPORTS

Menara KBS, 27, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62570 Putrajaya

www.kbs.gov.my/

KBSMALAYSIA

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Scroll to Top