GARIS PANDUAN
PEMBANGUNAN SUKAN ELEKTRONIK KEBANGSAAN 2022
(NATIONAL ESPORTS DEVELOPMENT GUIDELINE 2022)
NESDEG
Apa itu NESDEG
Sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia yang lebih terpelihara dan sebagai titik rujukan bagi pemegang taruh di dalam industri ini.
Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”), pelbagai garis panduan telah digariskan untuk membantu meningkatkan dan menggalakkan kesinambungan kecemerlangan sukan elektronik di Malaysia.
NESDEG bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Menerusi kerjasama melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, NESDEG telah dirangka dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor swasta dan wakil kementerian-kementerian.
Apakah matlamat NESDEG?
Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan bertanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Objektif penyediaan NESDEG 2022 ini adalah seperti berikut:
- Memastikan kebajikan dan hak pemain yang merangkumi pelan kerjaya, penajaan dan program pembangunan dilindungi dan ditambahbaik di setiap peringkat.
- Mewujudkan industri sukan elektronik yang bertanggungjawab dan beretika dengan mengambil kira persepsi masyarakat, penglibatan wanita dan kanak-kanak termasuk mengimbangi aktiviti sukan elektronik dengan aktiviti fizikal yang lain.
- Menyediakan struktur pembangunan terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab sukan elektronik di rantau asia.
- Memperkukuh kerjasama strategik antara pemain dan penggiat industri melalui kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
- Mewujudkan ekosistem sukan elektronik yang mengikut standard tadbir urus yang tinggi sekaligus menjadi penanda aras kepada kemajuan ekosistem sukan elektronik di Malaysia.
Terdapat 6 teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop yang penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu:
- Pengurusan Kontrak Pemain
- Tadbir Urus Penganjuran Acara
- Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak
- Tatakelakuan dan Etika
- Garis Panduan Laluan Kerjaya
- Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan di dalam Sukan Elektronik
Teras-Teras NESDEG
Teras 1: Pengurusan Kontrak kepada Pemain
Memastikan pengaplikasian kontrak di antara pemain, kelab, penganjur acara atau mana-mana pihak berkait untuk tujuan penjagaan hak dan tanggungjawab semua pihak yang jelas dan mudah difahami.
Teras 2: Tadbir Urus Penganjuran Acara
Memastikan standard penganjuran yang terbaik bagi semua pertandingan atau acara esukan di setiap peringkat. Pematuhan kepada semua terma dan syarat yang dikeluarkan oleh penerbit permainan termasuk mendapatkan lesen dan penganjuran apa-apa aktiviti esukan yang berkait.
Teras 3: Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak
Memastikan aktiviti esukan yang melibatkan kanak-kanak dikawal sebaiknya untuk memastikan kesejahteraan kesihatan fizikal atau mental kanak-kanak termasuk perkembangan intelektual, emosi, sosial dan tingkah laku.
Teras 4: Kod Tatakelakuan dan Etika
Kod tatakelakuan dan etika ini sebagai panduan peraturan untuk mengawal tingkah laku semua pihak yang terlibat di dalam ekosistem esukan di Malaysia dan bertujuan untuk mempromosi dan membangunkan integriti esukan di seluruh dunia.
Teras 5: Panduan Laluan Kerjaya
Panduan kerjaya kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri esukan.
Teras 6: Aplikasi Sains dan Perubatan Sains
Memberi pendekatan yang mendalam terhadap aplikasi sains dan perubatan sukan dalam memberi nilai tambah terhadap komuniti esukan, untuk memastikan pembangunan bakat yang lebih mampan dan terjaga.
Keenam-enam teras NESDEG 2022 ini bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik dan pengawalan yang lebih berkesan mengenai aktiviti sukan elektronik tertakluk pada perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ianya dirangka berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada di bawah agensi yang berkaitan.
Mana-mana pihak yang terjejas akibat mana-mana keputusan atau tindakan yang berlandaskan kepada panduan dan/atau maklumat berpandukan NESDEG 2022 ini tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi atau pampasan atau mengambil apa-apa tindakan perundangan ke atas Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) atau Kerajaan.
Penglibatan Perangkaan NESDEG
NESDEG ialah kemuncak usahasama oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dengan pihak berkepentingan industri esukan, untuk memastikan keseimbangan dicapai antara mewujudkan rangka kerja kawal selia yang mampan dan kepentingan industri dan komuniti e-sukan Malaysia.
Industri e-sukan dan komuniti mesti bersatu dan menerima cadangan yang dibuat dalam bab NESDEG untuk memastikan semua orang yang terlibat dilindungi.
Pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Sukan Negara (ISN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Sekretariat Industri Sukan (SIS) terlibat dalam sesi pertama penggubalan Kementerian Belia dan Sukan yang bermula pada tahun 2021.
Beberapa penglibatan dan bengkel telah dijalankan selepas itu sepanjang tahun 2022 dengan pelbagai pemegang taruh dari agensi kerajaan dan kementerian seperti dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), penerbit permainan, penganjur acara, pemain profesional, pengaruh esukan, dan pemilik pasukan untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan industri.
Garis Masa NESDEG
GARIS MASA
2021 – Oktober – Disember
Tahap 1: Mengenalpasti Isu dan Membina Agenda
- Rangka awal Garis Panduan Pengawalseliaan Esukan Kebangsaan dibangunkan secara dalaman di peringkat Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) dan inisiatif Esports Integrated (ESI), di bawah Impact Integrated.
- 5 skop awal telah digariskan iaitu Kontrak Atlet, Perlindungan Kanak-Kanak, Acara Esukan, Etika Esukan dan Panduan Kerjaya.
2022 – Januari – Mac
Tahap 2: Penandaarasan dan Penerimaan Input
- Bengkel dalaman bersama-sama agensi-agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Sekretariat Industri Sukan (SIS) dan Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik Kementerian Belia dan Sukan.
- Kerjasama dengan FUTURISE di bawah National Regulatory Sandbox.
- Kerjasama dengan Insitut Sukan Negara (ISN ) bagi Teras 6 – Sains Esukan.
- Penamaan semula Garis Panduan kepada Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG).
2022 – April – Julai
Tahap 3: Fasa Pembangunan dan Perbincangan Kumpulan Fokus
- Draf kedua NESDEG dibangunkan melalui input dan maklumbalas dari 2 bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD).
- Bengkel yang diadakan di ESI Hub bersama-sama hampir 100 peserta dari industri esukan termasuklah wakil pemain, penganjur acara, penerbit permainan, persatuan, pasukan, pihak berwajib dari jabatan dan kementerian berkait berserta pemegang-pemegang taruh yang lain.
2022 – Ogos – Disember
Tahap 4: Penilaian Dalaman dan Penalaan Halus
- Draf ketiga NESDEG dibangunkan dengan input dan penambahbaikan yang diterima dari sesi FGD.
- Mekanisme penerimaan maklumbalas secara online dan melalui kaedah townhall tahunan untuk membincangkan dan menerima penambahbaikan ke draf NESDEG sedia ada.
- Terjemahan draf NESDEG ke Bahasa Inggeris.
2023 – Jun
Tahap 5: Pelancaran Garis Panduan dan Kempen Kesedaran
- Pelancaran NESDEG versi 1 dan laman web NESDEG di ESI Hub.
- Kempen kesedaran umum untuk memastikan elemen-elemen NESDEG disebarkan kepada orang awam.
- Mekanisme maklumbalas untuk menerima input dan penambahbaikan dari komuniti dan orang awam di laman web NESDEG.
2024 – Januari
Tahap 6: Penambahbaikan Berkala
- Untuk memastikan NESDEG kekal relevan, penambahbaikan secara berkala akan dijalankan setiap tahun.
Input dan maklumbalas yang diterima melalui laman web akan dibincangkan di Townhall Tahunan Esukan Kementerian Belia dan Sukan untuk menambahbaik NESDEG bagi versi-versi seterusnya.
Penambahbaikan Berkala
Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan input dan maklum balas dari komuniti dan orang awam untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila ke NESDEG.my dan klik ke laman maklum balas.
Perancangan program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2023.
Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan lebih RM8 juta untuk program-program pada tahun 2023. Program-program ini akan dilaksanakan melalui inisiatif ESI, Majlis Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Bermula pada tahun 2023, inisiatif ESi di bawah Impact Integrated akan menjadi agensi peneraju bagi program-program esukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Di antara program-program dan inisiatif yang bakal berlangsung termasuklah:
- Kempen Kesedaran NESDEG
- Kalendar dan direktori esukan kebangsaan
- Kajian esukan kebangsaan
- ESPORTSCON Malaysia 2023
- Malaysia Esports League 2023 peringkat negeri dan kebangsaan
- Malaysia Esports Championship 2023
- ESI School Challenge bersama MSSM
- Kuasa Orang Muda Esports
- esukan.fm
- MyLadies PUBGM 3.0
- Bengkel Esports Skills 3.0
- Kursus Kejurulatihan Esports Tahap 1
Para penggiat dan peminat industri boleh ke laman web dan laman sosial Kementerian Belia dan Sukan, ESI, MSN dan JBSN untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2023.
Adakah wajib menggunakan kontrak dari NESDEG ini?
Penggunaan contoh kontrak yang terdapat dalam NESDEG 2022 ini adalah sebagai bahan rujukan kepada pihak berkepentingan. Contoh kontrak tersebut mengandungi terma dan syarat yang relevan bagi mengelakkan pertikaian. Walau bagaimanapun, nasihat guaman profesional amat digalakkan sebelum mengguna pakai mana-mana panduan yang telah tersedia dalam NESDEG 2022.
Adakah kontrak ini sah?
Sebarang bentuk kontrak adalah tertakluk dengan peruntukan di bawah Akta Kontrak 1950.
Apakah kesan melanggar kontrak?
Pihak yang telah melanggar kontrak ketika tempoh kontrak masih lagi berkuatkuasa masih perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran apa-apa terma di bawahnya. Perkara yang berhak dituntut kepada pihak yang melanggar kontrak adalah kesemua kos kerugian yang ditanggung oleh pihak lagi satu termasuk sebarang kos teladan yang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang.
KBS mengalu-alukan input dan maklumbalas dari komuniti dan orang awam untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklumbalas, sila klik di sini.