Teras 1 – Pengurusan Kontrak Kepada Pemain

TERAS 1

PENGURUSAN KONTRAK KEPADA PEMAIN

Pengenalan

  • Keputusan yang telah dipersetujui melalui kontrak yang ditandatangani secara bersama antara pemain, kelab, penganjur acara atau mana-mana entiti dan individu perlu bersifat adil kepada pihak yang terlibat dan mesti menyatakan hak dan tanggungjawab dengan jelas serta mudah difahami.
    0
    Please leave a feedback on thisx

  • Kontrak dengan terma dan syarat yang jelas akan membantu mengurangkan potensi risiko salah faham dan pertikaian. Ini membantu memupuk persekitaran yang selamat dan profesional dalam industri Esukan, menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan yang mampan.
    0
    Please leave a feedback on thisx

Skop & Aplikasi

Kandungan Teras ini menggariskan elemen penting yang perlu dimasukkan dan dipertimbangkan dalam kontrak  untuk pemain Esukan selaras dengan undang-undang dan peraturan di Malaysia. Templat Kontrak Pemain Esukan boleh didapati di Lampiran sebagai rujukan. Walau bagaimanapun, kandungan Garis Panduan ini tidak membentuk sebagai suatu nasihat undang-undang dan seumpamanya. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, adalah disyorkan untuk mendapatkan nasihat undang-undang dari mana-mana badan profesional semasa merangka dan menyemak kontrak untuk memastikan ia mematuhi peraturan dan undang-undang terkini.

Bahagian 1: Elemen Utama Kontrak Pemain Esukan

Antara terma-terma penting yang perlu diberi perhatian oleh pemain adalah seperti berikut:

1.1 Pihak-Pihak, Perkhidmatan, Kewajipan dan Sekatan

Kontrak Pemain Esukan mesti mengenal pasti dengan jelas semua pihak yang terlibat. Ini termasuk nama penuh mereka yang sah, nombor kad pengenalan, alamat surat-menyurat terkini, maklumat hubungan, peranan (contoh: pemain, kelab, penganjur acara) dan tujuan kontrak.

Semua perkhidmatan dan kewajipan yang disediakan oleh pemain perlu dinyatakan dengan jelas dalam kontrak. Ini termasuk pemain yang mengambil bahagian dan bersaing dalam kejohanan, terlibat dalam promosi media sosial atau penciptaan kandungan video serta penglibatan bersama media . Terma dan syarat ini perlu dimasukkan ke dalam perjanjian yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Klausa sekatan pemain adalah untuk menjelaskan sekatan dan had yang perlu dipatuhi oleh pemain. Ini termasuk sekatan daripada bermain dalam kejohanan tanpa kebenaran pasukan yang ditetapkan atau kontraktor, sekatan untuk mempromosikan pesaing atau penaja luar dan sebagainya.

1.2 Pertimbangan Undang-undang untuk Kanak-kanak di bawah umur

Undang-undang Malaysia menyediakan perlindungan tertentu untuk kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun untuk memastikan bahawa hak-hak mereka dipertimbangkan semasa merangka kontrak.

1.2.1 Persetujuan Ibu Bapa / Penjaga

Akta Umur Majoriti 1971 mentakrifkan umur dewasa yang sah atau umur majoriti di Malaysia sebagai 18 tahun. Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa seseorang itu berupaya untuk berkontrak sekiranya beliau berumur 18 tahun ke atas. Ini bermakna kanak-kanak di bawah umur tidak kompeten dari segi undang-undang untuk membuat kontrak. Namun, kanak-kanak bawah umur boleh memasuki kontrak pekerjaan atau perantis sekiranya ibu bapa atau penjaga terlibat dalam menyemak dan memahami kontrak yang dimeterai oleh anak-anak di bawah jagaan mereka.

Garis Panduan untuk Atlet Esukan Bawah 18 Tahun:

  • Kontrak mesti melibatkan penglibatan dan persetujuan aktif daripada ibu bapa atau penjaga sah. Mereka perlu menyemak dan menandatangani kontrak untuk memastikan kepentingan anak-anak mereka dilindungi.
  • Kontrak perlu menjelaskan peranan, jangkaan, dan tanggungjawab atlet bawah umur, dengan mengambil kira pendidikan dan kesejahteraan keseluruhan mereka.
  • Kontrak untuk atlet bawah umur harus mempunyai tempoh yang munasabah dan terhad, dengan pilihan untuk semakan atau rundingan semula secara berkala seiring dengan perkembangan usia mereka.
  • Tanggungjawab dalam kontrak tidak boleh mengganggu pendidikan atau waktu rehat atlet. Terma harus merangkumi jadual yang fleksibel yang menghormati komitmen sekolah.
  • Pastikan struktur bayaran adalah adil dan sebarang pendapatan yang diperolehi harus dipegang dalam akaun amanah, jika sesuai, untuk diakses oleh atlet apabila mencapai umur majoriti.
  • Sertakan klausa penamatan yang jelas, membolehkan kontrak dibatalkan jika ia tidak lagi sesuai untuk kepentingan atlet bawah umur, seperti atas alasan kesihatan, pendidikan, atau kesejahteraan peribadi.
  • Kontrak harus merangkumi kod etika yang ketat untuk memastikan kesihatan mental, emosi dan fizikal atlet diutamakan, dengan panduan mengenai tanggungjawab pemain, pembulian, dan gangguan seksual.
  • Pastikan kontrak disemak oleh pakar undang-undang yang berpengalaman dalam hak kanak-kanak dan undang-undang esukan untuk mengelakkan eksploitasi atau sebarang kelemahan dalam kontrak.

Terdapat Akta yang menetapkan had untuk aktiviti berkaitan pekerjaan untuk kanak-kanak dan remaja. Akta Kanak-Kanak & Remaja (Pekerjaan) 1966 (sekiranya terpakai) menyediakan perlindungan tertentu untuk kanak-kanak bawah umur, yang harus dipertimbangkan semasa merangka kontrak  untuk memastikan keadilan dan ketepatan undang-undang.

Akta ini mengenakan had khusus pada hari bekerja dan waktu bekerja berturut-turut, direka untuk mengutamakan pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak. Berikut adalah antara yang diperuntukkan bagi kanak-kanak di bawah umur 15 tahun:

  • Tidak lebih daripada 6 hari bekerja berturut-turut
  • Rehat 30 minit wajib untuk setiap 3 atau 4 jam bekerja
  • Had 8 jam pada hari bekerja
  • Dilarang bekerja sekiranya kurang dari 14 jam rehat berturut-turut
  • Tiada waktu kerja perlu dilakukan antara 8.00 malam hingga 7.00 pagi

Manakala, berikut adalah antara yang diperuntukkan bagi orang muda yang berumur 15 tahun tetapi belum mencapai 18 tahun:

  • Tidak lebih daripada 6 hari bekerja berturut-turut
  • Rehat 30 minit wajib untuk setiap 4 jam bekerja
  • Had 7 jam pada hari bekerja
  • Dilarang bekerja sekiranya kurang dari 12 jam rehat berturut-turut
  • Tiada waktu kerja perlu dilakukan antara 8.00 malam hingga 6.00 pagi

Namun, peruntukan undang-undang yang dinyatakan dalam Garis Panduan ini adalah tertakluk kepada undang-undang lain yang terpakai dan tidak hanya terhad kepada Akta Kanak-Kanak & Remaja (Pekerjaan) 1966.

1.3 Kewangan

Semua perincian kos kewangan yang perlu ditanggung oleh semua pihak secara harian, mingguan, bulanan, tahunan ataupun apa-apa cara lain yang dipersetujui haruslah direkodkan dengan jelas di dalam kontrak. Terma ini amatlah penting dan tidak boleh diambil mudah memandangkan sebarang ketidakpatuhan terhadap apa-apa pembayaran dalam tempoh dan jumlah yang dipersetujui adalah satu pelanggaran kontrak.

Antara kos kewangan yang harus dinyatakan dengan jelas dan terperinci di dalam kontrak adalah seperti berikut: –

Gaji (Sekali, Bermusim atau Berkala)

Pemain berhak mendapat bayaran gaji tanpa mengira prestasi ataupun status pemain tersebut sama ada pemain utama atau pemain simpanan dan boleh berunding dengan pihak kelab untuk manfaat lain seperti dinyatakan di bawah.

Pecahan Tajaan

Pecahan tajaan merujuk kepada bagaimana dana atau sokongan yang diterima daripada penaja dibahagikan antara atlet esukan dan pasukan atau organisasi yang mereka wakili. Ini termasuk bayaran tunai, kemudahan latihan, peralatan, dan faedah lain yang disediakan oleh penaja. Peratusan yang diterima oleh atlet akan ditetapkan berdasarkan perjanjian kontrak.

Pecahan Tajaan: Kajian Kes Pasukan Esukan Team Secret
 
Team Secret, sebuah organisasi esports yang terkenal, sering menerima tajaan daripada pelbagai syarikat besar seperti Monster Energy, Secretlab, dan Corsair. Dalam perjanjian tajaan antara pasukan dan syarikat-syarikat ini, dana tajaan dan barangan seperti peralatan latihan dan komputer akan dibahagikan antara pasukan dan pemain.
 
Sebagai contoh, jika tajaan bernilai RM1 juta, peratusan tertentu akan diperuntukkan untuk operasi pasukan (contohnya, 60%) dan selebihnya akan dibahagikan antara pemain (contohnya, 40%). Pecahan ini bergantung pada perjanjian kontrak, dengan beberapa pemain mungkin menerima lebih banyak berdasarkan prestasi atau populariti mereka dalam pasukan.
 
Ini menunjukkan bahawa pecahan tajaan tidak hanya melibatkan wang tunai tetapi juga barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh penaja, di mana atlet akan menerima sebahagian daripada manfaat ini.

Pecahan Keuntungan Barangan

Pecahan keuntungan barangan merujuk kepada bagaimana hasil daripada jualan barangan yang berkaitan dengan atlet atau pasukan esports dibahagikan. Barangan ini mungkin termasuk pakaian, aksesori, atau produk lain yang membawa jenama atau nama atlet. Perjanjian kontrak akan menentukan peratusan keuntungan yang akan diterima oleh atlet daripada jualan tersebut.

Pecahan Keuntungan Barangan: Kajian Kes Ninja dan Red Bull
 
Tyler “Ninja” Blevins, seorang atlet esukan terkenal, bekerjasama dengan Red Bull untuk menghasilkan barangan eksklusif seperti baju-T dan tin minuman tenaga dengan jenamanya. Dalam perjanjian ini, keuntungan daripada jualan barangan tersebut dibahagikan antara Ninja dan Red Bull.
 
Sebagai contoh, jika jualan baju-T eksklusif mencapai RM500,000, peratusan keuntungan, seperti 30%, akan diberikan kepada Ninja, dan 70% akan disimpan oleh Red Bull untuk kos pengeluaran dan pemasaran. Jumlah peratusan ini biasanya tertakluk kepada rundingan dalam kontrak.
 
Contoh ini memperlihatkan bagaimana atlet esukan boleh menerima keuntungan daripada barangan yang dijual menggunakan nama atau jenama mereka, dengan pecahan keuntungan yang telah dirundingkan terlebih dahulu.

Pecahan Keuntungan Penstriman

Sekiranya terdapat sebarang pecahan jumlah tajaan, keuntungan barangan dan keuntungan penstriman yang akan diterima, pecahan tersebut dan kiraannya harus dinyatakan dengan jelas.

Bonus Prestasi/Bonus Perlawanan

Sekiranya terdapat sebarang persetujuan untuk pemberian bonus prestasi ataupun perlawanan, terma dan syaratnya harus dinyatakan dalam kontrak.

Wang Hadiah Perlawanan

Sekiranya terdapat sebarang persetujuan untuk agihan wang hadiah perlawanan yang akan diterima, pecahan yang akan diterima dan kiraannya berserta terma dan syarat harus dinyatakan dalam kontrak.

Pendapatan, Imbuhan, Elaun dan Kos Pengurusan

Jumlah, pecahan ataupun pengiraan pendapatan, imbuhan, elaun dan kos pengurusan perlu dinyatakan dengan jelas. Kos pengurusan yang dipersetujui haruslah dibuat dengan  kadar yang adil bagi pihak-pihak yang terlibat.

Cadangan Amalan Terbaik Untuk Pendapatan, Imbuhan, Elaun dan Kos Pengurusan

KategoriDefinisiTerbaikCadangan Peratusan/Kadar
PendapatanJumlah wang yang diterima daripada gaji, hadiah kemenangan, tajaan, dan hasil jualan barangan.Pendapatan perlu dinyatakan dalam kontrak dengan jelas, sama ada dalam bentuk bayaran tetap atau peratusan hasil daripada tajaan atau jualan barangan.60-70% daripada hasil tajaan atau jualan barangan diperuntukkan kepada atlet, selebihnya kepada pengurusan.
ImbuhanBayaran tambahan sebagai ganjaran prestasi atau pencapaian tertentu seperti bonus kemenangan atau sasaran tajaan.Peratusan imbuhan perlu jelas dalam kontrak dan dikaitkan dengan prestasi atau pencapaian yang boleh diukur, seperti bonus tunai atau bentuk lain yang dipersetujui.10-20% daripada hadiah kemenangan diberikan kepada atlet sebagai bonus, berdasarkan prestasi.
ElaunBayaran tambahan untuk menampung kos seperti pengangkutan, makanan, tempat tinggal, atau peralatan.Elaun perlu dinyatakan dengan kadar harian, bulanan, atau setiap acara, berdasarkan kos sebenar yang ditanggung oleh atlet.RM200-RM500 sehari untuk penginapan atau pengangkutan yang ditanggung oleh atlet.
Kos PengurusanKos yang dikenakan oleh pasukan/organisasi untuk pengurusan atlet termasuk bayaran pengurus, promosi, atau pentadbiran.Kos pengurusan perlu jelas dalam kontrak, adil, dan berdasarkan perjanjian bersama. Peratusan boleh ditetapkan berdasarkan perkhidmatan yang diberikan oleh pengurus.10-15% daripada pendapatan keseluruhan diperuntukkan kepada pengurusan pasukan atau organisasi.

1.3.1 Gaji Minimum

Perintah Gaji Minimum 2022 memperkenalkan gaji bulanan minimum RM1,500 untuk pekerja di seluruh negara. Ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. Perintah Gaji Minimum 2022 juga memberikan kadar gaji minimum untuk pekerja yang dibayar secara harian atau setiap jam, dengan gaji minimum setiap jam RM7.21 sejam. Ini terpakai untuk semua pekerja yang telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan majikan mereka, tidak termasuk pelatih atau pelatih yang menerima latihan praktikal sebagai sebahagian daripada program latihan pekerjaan. Walau bagaimanapun, pelatih harus dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi atau layanan diskriminasi.

Namun, peruntukan undang-undang yang dinyatakan dalam Garis Panduan ini adalah tertakluk kepada undang-undang lain yang terpakai dan tidak terhad kepada Akta Kerja 1955, Akta Kanak-Kanak & Remaja (Pekerjaan) 1966, dll.

1.4 Harta Intelek – Tag Permainan dan Hak Imej Pemain  

Harta Intelek ialah satu bentuk monopoli yang diiktiraf undang-undang ke atas hasil kerja atau ciptaan menerusi kreativiti mana-mana entiti ataupun individual termasuk imej seseorang. Undang-undang berkaitan dengan Harta Intelek di Malaysia ditadbir oleh akta yang berasingan berdasarkan enam (6) cabang utama bagi Harta Intelek iaitu:-

  1. Cap Dagangan (Trademark)
  2. Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design)
  3. Paten (Patent)
  4. Hak Cipta (Copyright)
  5. Panduan Geografi (Geographical Indication)
  6. Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design)

Harta intelek untuk industri sukan elektronik adalah merujuk kepada perkara yang merangkumi kerja-kerja kreatif yang dihasilkan oleh sesuatu pihak dalam pelbagai bentuk termasuk tag permainan dan hak imej seorang pemain. Hak Intelek untuk pihak-pihak yang berkontrak ini adalah hak komersial yang perlu dihormati dan dipatuhi terma penggunaan oleh pihak yang lagi satu dan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana pihak tanpa persetujuan empunya Harta Intelek sepertimana yang tertakluk di bawah undang-undang yang dinyatakan di atas atau undang-undang lain yang terpakai.

Garis Panduan yang Disarankan untuk Pengurusan Hak Harta Intelek dalam Esukan:

Tentukan dengan jelas pemilikan tag permainan dan hak imej pemain
  • Nyatakan dalam kontrak siapa yang memiliki hak ke atas tag permainan dan imej pemain (sama ada pemain mengekalkan hak sepenuhnya atau berkongsi dengan pasukan atau organisasi).
  • Tentukan penggunaan yang dibenarkan untuk tag permainan dan imej pemain, terutamanya dalam aktiviti komersial seperti pemasaran, promosi, dan penampilan media.
Dapatkan persetujuan bertulis untuk penggunaan harta intelek
  • Pastikan persetujuan bertulis diperoleh daripada pemain sebelum menggunakan tag permainan atau imej mereka untuk sebarang tujuan di luar skop kontrak asal, seperti dalam perjanjian penajaan atau produk dagangan.
Penggunaan terhad kepada tempoh masa dan spesifik
  • Tentukan tempoh dan konteks penggunaan hak harta intelek ini, untuk mengelakkan eksploitasi identiti pemain secara berpanjangan atau meluas tanpa pampasan atau rundingan semula.
Royalti dan pampasan untuk penggunaan komersial
  • Jika tag permainan atau imej pemain menjana pendapatan (contohnya, produk dagangan dengan wajah atau tag permainan pemain), pastikan pemain mendapat pampasan yang adil, sama ada melalui bayaran awal atau royalti.
Hormati penjenamaan peribadi pemain
  • Benarkan pemain mempunyai autonomi tertentu ke atas jenama peribadi mereka (tag permainan, imej, persona), terutamanya jika mereka berpindah pasukan atau terlibat dalam aktiviti promosi individu.
Larangan penggunaan tanpa kebenaran
  • Sertakan klausa yang menghalang mana-mana pihak daripada menggunakan tag permainan atau imej pemain tanpa kebenaran yang jelas untuk aktiviti di luar skop kontrak yang dipersetujui.
Patuhi undang-undang harta intelek tempatan dan antarabangsa
  • Pastikan semua kontrak mematuhi undang-undang harta intelek di Malaysia dan peraturan antarabangsa yang berkaitan. Ini amat penting apabila berurusan dengan pertandingan rentas sempadan atau penajaan antarabangsa.

Garis panduan ini membantu melindungi pemain dan organisasi esports dengan memastikan kejelasan dalam pengurusan harta intelek, mengelakkan pertikaian, dan memupuk hubungan profesional.

1.5 Penamatan & Pembaharuan

Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemain sebelum menandatangani kontrak dengan mana-mana kelab adalah:

1. Peluang perkembangan kerjaya

  • Salah satu elemen penting dalam kontrak antara pemain dan kelab adalah memasukkan terma di mana kelab mestilah memberikan peluang kepada pemain untuk mengembangkan kerjaya mereka. Ini termasuk peluang latihan, penyertaan dalam kejohanan penting, dan pendedahan kepada rangkaian profesional yang lebih luas.
  • Kontrak perlu menyatakan dengan jelas langkah-langkah yang akan diambil oleh kelab untuk memastikan perkembangan pemain ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada melalui latihan intensif, penglibatan dalam program pembangunan bakat, atau peluang peningkatan prestasi.

2. Fasiliti dan kemudahan yang disediakan

  • Kelab harus memberikan fasiliti yang sesuai dan berkualiti kepada pemain seperti peralatan latihan, tempat tinggal, kemudahan penjagaan kesihatan, dan keperluan harian lain. Ini penting untuk memastikan pemain boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan permainan, tanpa bimbang tentang keperluan asas mereka.
  • Pemain perlu mempertimbangkan sama ada fasiliti yang ditawarkan sejajar dengan keperluan mereka untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.

Tiada tempoh minimum atau maksimum ditetapkan untuk mana-mana kontrak. Bagi tempoh kontrak yang pendek, ianya mungkin lebih bermanfaat kepada kedua-dua pihak berbanding tempoh yang lama kerana pihak-pihak boleh mengambil pilihan menamatkan kontrak tersebut atau memperbaharui kontrak tersebut dengan terma-terma lain. Di samping itu, industri Esukan, sama seperti sukan lain, mempunyai musim perlawanan. Bagi tempoh kontrak yang lama pula, ia boleh menyebabkan pihak-pihak kepada kontrak tersebut merasa terperangkap dalam hubungan yang lama dan tidak bebas mencari peluang lain. Adalah penting untuk mengambil maklum bahawa di bawah Akta Kontrak 1950, pihak-pihak boleh mengenakan sekatan perdagangan (restraint of trade) sewaktu tempoh kontrak untuk mengelakkan konflik kepentingan, manakala sesuatu perjanjian yang menghalang seseorang daripada menjalankan pekerjaan atau perdagangan lain dalam industri sama secara sah selepas tempoh kontrak tamat adalah terbatal.

Justeru, ia adalah mustahak bagi kedua-dua pihak untuk bersetuju dan memahami terlebih dahulu objektif dan tujuan terma-terma yang ditetapkan dalam mana-mana kontrak yang akan dimeterai.  

Klausa penamatan dan pembaharuan ialah klausa yang sangat diperlukan dalam kontrak pemain Esukan untuk melindungi kepentingan dan hak kedua-dua pihak sekiranya berlaku pelanggaran kontrak, perubahan keadaan atau persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak. Klausa ini mengandungi aspek pampasan sekiranya berlaku pelanggaran terma kontrak yang mengakibatkan pra-penamatan kontrak dan kuantifikasi nilai baki tempoh kontrak pemain mengikut pembayaran yang telah dibuat oleh kontraktor untuk pemain tersebut. Kewajipan dan kewajipan selepas penamatan juga dilindungi di bawah klausa ini seperti pemadaman data, pemulangan peralatan dan tidak diperkecilkan. Tidak bersaing dan tidak menerima mana-mana pasukan lain atau tawaran kontraktor juga dilindungi di bawah klausa ini.

Syarat untuk pembaharuan juga boleh dilindungi di bawah klausa ini sekiranya pihak-pihak bersetuju untuk memperbaharui kontrak tersebut setelah tempoh kontrak tamat. Ini adalah aspek penting untuk memastikan tingkah laku pemain terkawal dan juga memastikan pemahaman pemain tentang tanggungjawab dan sekatan mereka.

Garis Panduan yang Disarankan untuk Penamatan & Pembaharuan dalam Kontrak Pemain Esports

Peluang perkembangan kerjaya
  • Kontrak perlu merangkumi klausa yang jelas tentang peranan kelab dalam memastikan pemain berkembang dari segi kemahiran dan mendapat pendedahan sewajarnya sepanjang tempoh kontrak.
  • Tentukan metrik prestasi atau pencapaian yang boleh digunakan sebagai petunjuk perkembangan kerjaya pemain, seperti peningkatan ranking, penglibatan dalam kejohanan peringkat antarabangsa, atau sokongan latihan.
Hak untuk menamatkan kontrak jika syarat perkembangan tidak dipenuhi
  • Pemain harus mempunyai hak untuk menamatkan kontrak secara awal jika kelab gagal menyediakan peluang perkembangan kerjaya seperti yang dijanjikan. Ini termasuk kelewatan atau kegagalan dalam menyediakan akses kepada kejohanan atau latihan yang dijanjikan dalam tempoh masa yang munasabah.
Penyediaan fasiliti dan kemudahan
  • Fasiliti dan kemudahan yang disediakan oleh kelab, seperti ruang latihan, peralatan, dan kemudahan sokongan (penjagaan kesihatan, pemakanan, dan psikologi) perlu dinyatakan secara terperinci dalam kontrak.
  • Kontrak perlu menetapkan piawaian kemudahan yang mesti dipatuhi oleh kelab, serta hak pemain untuk menyuarakan sebarang kekurangan fasiliti yang boleh menjejaskan prestasi mereka.
Terma penamatan kontrak
  • Syarat-syarat yang membolehkan kelab atau pemain menamatkan kontrak lebih awal perlu dinyatakan dengan jelas. Ini termasuk kegagalan kelab menyediakan kemudahan atau sokongan seperti yang dinyatakan dalam kontrak, atau kegagalan pemain memenuhi piawaian prestasi yang ditetapkan.
  • Selain itu, tempoh notis untuk penamatan kontrak perlu ditetapkan secara adil, memberikan masa yang mencukupi bagi kedua-dua pihak untuk membuat persediaan sekiranya kontrak ditamatkan.
Terma pembaharuan kontrak
  • Kontrak juga harus menyediakan mekanisme yang jelas untuk pembaharuan, termasuk syarat prestasi dan pencapaian yang akan diambil kira sebelum kontrak diperbaharui. Ini membantu mengelakkan sebarang ketidakpastian apabila tempoh kontrak menghampiri tamat.
  • Pemain perlu diberi hak untuk berunding semula terma kontrak, terutamanya jika mereka telah mencapai prestasi yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan pada awal kontrak.
Klausa pampasan atau penamatan awal
  • Jika kontrak ditamatkan lebih awal atas sebab-sebab yang sah, pemain perlu diberikan pampasan sewajarnya, sama ada melalui bayaran gaji yang belum diterima atau pampasan tambahan. Klausa ini penting untuk memastikan pemain dilindungi sekiranya berlaku penamatan tidak dijangka.
Penglibatan penasihat undang-undang
  • Pemain harus mendapatkan nasihat undang-undang sebelum menandatangani atau memperbaharui sebarang kontrak, terutamanya untuk memastikan mereka memahami hak dan tanggungjawab mereka di bawah kontrak tersebut.
Perkara tambahan untuk dipertimbangkan
  • Keberkesanan peranan pengurus pasukan dalam membantu perkembangan kerjaya pemain: Kontrak boleh menyatakan peranan pengurus atau jurulatih dalam memberi nasihat, sokongan, dan bimbingan yang relevan kepada pemain untuk mencapai matlamat kerjaya mereka.
  • Peluang pendedahan dan promosi: Pastikan kontrak merangkumi peluang untuk pendedahan media atau promosi, kerana ini adalah elemen penting dalam membina kerjaya jangka panjang dalam esukan.

Dengan adanya garis panduan ini, pemain boleh membuat keputusan yang lebih baik sebelum menandatangani kontrak dan memastikan hak mereka dilindungi sepanjang tempoh kerjasama dengan kelab.

1.6 Pelanggaran Kontrak

Sebarang bentuk kontrak adalah tertakluk dengan peruntukan di bawah Akta Kontrak 1950 dan undang-undang lain yang berkaitan. Kontrak boleh ditamatkan sekiranya ia merupakan satu tuntutan di bawah undang-undang atau ketidakpatuhan pihak tertentu untuk mematuhi terma kontrak tersebut, atau tamat tempoh waktu yang dipersetujui atau ditamatkan dengan persetujuan bersama-sama.

Sekiranya mana-mana pihak melanggar terma-terma kontrak yang masih berkuatkuasa, penalti yang sewajarnya akan dikenakan ke atas pihak yang melanggar kontrak tersebut dan pihak yang telah melanggar kontrak ketika tempoh kontrak masih lagi berkuatkuasa perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran apa-apa terma di bawahnya. Perkara yang berhak dituntut kepada pihak yang melanggar kontrak adalah kesemua kos kerugian yang ditanggung oleh pihak lagi satu termasuk sebarang kos teladan yang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Selain itu, terdapat terma-terma lain yang akan kekal berkuatkuasa walaupun kontrak telah ditamatkan seperti hak untuk meneruskan penggunaan imej (sekiranya ada) dan terma kerahsiaan.

Selain itu juga, sekiranya tempoh masa bagi sesuatu kontrak telah tamat, pihak terlibat boleh membuat perundingan semula terma-terma yang baru sebelum memperbaharui kontrak tersebut.

Kajian Kes: Pelanggaran Kontrak dalam Industri Esukan
 
Latar Belakang
Seorang pemain esukan profesional, Ahmad, menandatangani kontrak selama dua tahun dengan sebuah kelab esukan terkenal. Dalam kontrak tersebut, dinyatakan bahawa Ahmad akan diberikan latihan intensif, penyertaan dalam kejohanan besar, serta beberapa faedah lain seperti bayaran bulanan, kemudahan tempat tinggal, dan penggunaan imej Ahmad untuk tujuan promosi. Ahmad juga bersetuju untuk tidak menyertai mana-mana pasukan lain selama tempoh kontrak dan untuk mematuhi semua terma dan syarat kontrak tersebut.
 
Pelanggaran Kontrak
Enam bulan sebelum kontrak Ahmad tamat, dia menerima tawaran lumayan daripada kelab lain untuk menyertai mereka. Tanpa memaklumkan kelab asal, Ahmad berhenti menghadiri latihan dan menandatangani kontrak baru dengan kelab tersebut. Ini dianggap sebagai pelanggaran kontrak kerana Ahmad masih terikat dengan kontrak asal yang berkuat kuasa.
 
Kelab asal Ahmad kemudian mengambil tindakan undang-undang, menuntut kos kerugian yang ditanggung akibat tindakan Ahmad. Kelab tersebut mendakwa bahawa tindakan Ahmad telah menyebabkan kerugian kepada reputasi mereka, kehilangan penaja, serta kos pelaburan dalam latihan dan fasiliti untuk Ahmad.

Proses Undang-Undang



  1. Kelab asal Ahmad membawa kes ini ke mahkamah berdasarkan pelanggaran terma kontrak di bawah Akta Kontrak 1950. Mereka menuntut ganti rugi untuk kerugian yang ditanggung akibat tindakan Ahmad, antara lain, kos latihan, kehilangan potensi pendapatan dari penaja, dan kos promosi yang berkaitan dengan imej Ahmad.


  2. Mahkamah menilai pelanggaran yang dilakukan oleh Ahmad dan mempertimbangkan kesan kepada kelab asal Ahmad tersebut. Oleh kerana Ahmad melanggar terma yang jelas dalam kontraknya (termasuk kewajipannya untuk kekal bersama kelab asal sehingga tamat tempoh kontrak), mahkamah memutuskan bahawa Ahmad perlu membayar ganti rugi kepada kelab tersebut.



  3. Ahmad diarahkan untuk membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi kepada kelab asalnya. Jumlah tersebut termasuk kos kerugian kewangan yang ditanggung oleh kelab akibat kehilangan penajaan, kos latihan, serta kos promosi yang melibatkan imej Ahmad. Penalti tambahan dikenakan sebagai tauladan kepada pemain lain agar tidak melakukan pelanggaran kontrak seperti Ahmad dan mematuhi terma kontrak yang telah mereka meterai.



  4. Walaupun kontrak telah ditamatkan secara paksa, kelab asal telah memperuntukkan terma dalam kontrak tersebut bahawa kelab asal berhak untuk menggunakan imej Ahmad untuk tujuan promosi sepanjang tempoh Perjanjian dan akan terus berkuatkuasa setelah kontrak asal ditamatkan. Oleh itu, terma mengenai hak penggunaan imej Ahmad untuk tujuan promosi oleh kelab asal masih sah. Ini bermaksud kelab asal tersebut boleh terus menggunakan imej Ahmad untuk tempoh yang dinyatakan dalam kontrak, walaupun dia sudah tidak lagi bermain dengan mereka.


Kesimpulan
Kajian kes ini menunjukkan kesan besar yang boleh timbul daripada pelanggaran kontrak. Ahmad bukan sahaja perlu membayar ganti rugi kewangan yang besar, tetapi juga terikat dengan terma penggunaan imejnya oleh kelab asal. Pelanggaran kontrak bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan antara pemain dan kelab, tetapi juga boleh menjejaskan reputasi dan kewangan pihak yang melanggar terma tersebut.

Pelajaran yang Boleh Diambil

  • Pemain perlu memahami dan mematuhi setiap terma kontrak sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan pihak luar.

  • Mana-mana pelanggaran kontrak boleh menyebabkan tindakan undang-undang dan kewajipan untuk membayar ganti rugi yang besar.

  • Terma-terma seperti penggunaan imej dan kerahsiaan mungkin terus berkuatkuasa walaupun kontrak ditamatkan.

Kajian kes ini menekankan kepentingan menghormati terma kontrak dan memahami implikasi pelanggaran terma-terma tersebut di bawah Akta Kontrak 1950.

1.7 Kerahsiaan

Terma kerahsiaan dalam kontrak pemain esukan adalah untuk melindungi maklumat sensitif yang berkaitan dengan pemain, kelab, atau pihak ketiga. Ini termasuk maklumat peribadi, komersial, kewangan, strategi, atau sebarang data lain yang tidak boleh diumumkan kepada umum tanpa persetujuan bertulis dari pihak yang berkenaan.

Terma kerahsiaan ini penting supaya pihak-pihak menghormati sebarang terma komersial atau data-data peribadi yang tidak boleh diumumkan kepada awam bagi melindungi kepentingan sesuatu pihak atau pihak lain atas tuntutan perundangan sedia ada.

Jenis-Jenis Terma Kerahsiaan yang Boleh Digunakan dalam Kontrak Esukan

Kerahsiaan Maklumat Peribadi
  • Maklumat peribadi pemain, seperti butiran peribadi, kesihatan, kewangan, atau alamat, tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak ketiga tanpa persetujuan pemain. Ini selaras dengan undang-undang perlindungan data peribadi yang berkuat kuasa di Malaysia.
  • Data peribadi pemain yang berkaitan dengan prestasi, kontrak, dan sebarang perjanjian dengan pihak ketiga juga perlu dilindungi.
Kerahsiaan Terma Komersial
  • Terma kewangan dalam kontrak, termasuk bayaran, insentif, bonus, dan syarat lain, tidak boleh dibocorkan kepada pihak luar, kecuali dengan kebenaran bertulis dari kelab atau pemain. Pendedahan yang tidak dibenarkan boleh membawa kepada tindakan undang-undang dan denda.
  • Selain itu, perjanjian yang melibatkan penajaan, hak penyiaran, atau aktiviti komersial lain yang dirancang juga perlu dikekalkan dalam kerahsiaan.
Kerahsiaan Strategi Permainan dan Latihan
  • Strategi pasukan, termasuk teknik permainan, pendekatan latihan, dan taktik yang digunakan dalam pertandingan, perlu dikekalkan sebagai rahsia. Pihak pemain dan staf tidak boleh mendedahkan strategi ini kepada pihak lawan atau mana-mana pihak yang boleh menyalahgunakannya.
  • Maklumat dalaman pasukan tentang kekuatan dan kelemahan pemain juga harus dirahsiakan untuk melindungi kelebihan kompetitif pasukan.
Kerahsiaan Maklumat Teknologi
  • Teknologi yang digunakan oleh pasukan, seperti perisian analitik, peralatan permainan, dan inovasi yang berkaitan dengan prestasi, perlu dirahsiakan.
  • Sebarang maklumat mengenai inovasi ini tidak boleh dikongsikan tanpa persetujuan pihak yang bertanggungjawab.Ini termasuk penyelidikan atau eksperimen yang sedang dijalankan oleh pasukan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi pemain.
Kerahsiaan Hubungan dengan Pihak Ketiga
  • Kontrak perlu menyatakan bahawa sebarang hubungan antara pasukan atau pemain dengan penaja, syarikat media, atau pihak ketiga lain adalah bersifat rahsia. Sebarang maklumat tentang kerjasama atau perjanjian ini tidak boleh diumumkan tanpa kebenaran.
  • Pendedahan tanpa kebenaran boleh menjejaskan hubungan komersial dan menyebabkan kerugian kewangan.
Penggunaan Maklumat Selepas Kontrak Tamat
  • Terma kerahsiaan biasanya kekal berkuat kuasa walaupun selepas kontrak tamat. Ini bermaksud, pemain atau kelab masih terikat untuk tidak mendedahkan maklumat yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia walaupun kontrak telah berakhir.
  • Sebarang pelanggaran selepas tamat tempoh kontrak masih boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengecualian daripada Kerahsiaan
  • Kontrak boleh menyatakan keadaan-keadaan di mana maklumat boleh didedahkan secara sah, seperti apabila diperlukan oleh undang-undang atau apabila maklumat itu telah menjadi pengetahuan umum tanpa melibatkan mana-mana pihak yang terikat dengan kontrak.
  • Pihak-pihak juga boleh menetapkan bahawa maklumat boleh didedahkan kepada penasihat profesional seperti peguam atau akauntan, selagi mereka juga terikat dengan peraturan kerahsiaan.
Penalti dan Pampasan untuk Pelanggaran Terma Kerahsiaan
  • Sebarang pelanggaran terma kerahsiaan boleh menyebabkan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi. Kontrak perlu menjelaskan penalti atau pampasan yang akan dikenakan kepada pihak yang melanggar terma kerahsiaan.
  • Ganti rugi ini termasuk kos yang ditanggung akibat pendedahan maklumat yang tidak sah dan kerugian komersial yang mungkin dialami oleh pihak yang maklumatnya didedahkan.

1.8 Notis

Notis merupakan terma yang perlu ada di dalam setiap kontrak bagi memudahkan pihak-pihak menyerahkan apa-apa notis bertulis kepada pihak yang lagi satu mengikut cara penyerahan notis yang telah dipersetujui ke butiran alamat yang dinyatakan di dalam kontrak tersebut.

1.9 Pindaan

Untuk mengelakkan sebarang pertikaian, sebarang pindaan kepada terma-terma yang sedia ada yang sudah dipersetujui oleh pihak terlibat, hanya boleh dibuat melalui pindaan secara bertulis dan direkodkan persetujuannya oleh pihak-pihak melalui kontrak tambahan.

Bahagian 2: Potensi Risiko untuk Kontrak Pemain

  1. Penggal: Industri Esukan, sama seperti bola sepak, mempunyai musim perlawanan. Jika tempoh kontrak yang lama, ia berkemungkinan boleh menyebabkan pihak-pihak kepada kontrak berasa terperangkap dalam hubungan kontrak, dan tidak bebas mencari peluang lain. Tiada penanda aras tempoh kontrak minimum atau maksimum kerana ia bergantung kepada tempoh-tempoh kejohanan. Ianya penting untuk memahami objektif dan tujuan terma-terma kontrak tersebut dan menjelaskan klausa jangka masa, sekatan dan eksklusiviti semasa rundingan. (sila rujuk Bahagian 1.5 untuk butiran)
  2. Syarat Penamatan: Sesetengah kontrak telah menetapkan syarat, ganti rugi yang tinggi atau syarat sekatan lain yang berkemungkinan menyukarkan pihak berkenaan untuk membayar kos penamatan atau memenuhi syarat penamatan tersebut. (sila rujuk Bahagian 1.5 untuk butiran)
  3. Gaji, faedah, dan perkongsian keuntungan/bonus: Pastikan cara keuntungan yang akan dikongsi antara pihak-pihak adalah dijelaskan dan difahami secara jelas (cth. pendapatan dalam penajaan produk atau penstriman permainan, dll.) (sila rujuk Bahagian 1.3 untuk butiran)
  4. Terma sekatan lain: Terdapat kemungkinan risiko memerlukan pemain mengambil bahagian dalam aktiviti komersial, menyatakan tempoh penstriman langsung, penggunaan hak imej, dan peraturan mengenai strategi permainan dalam permainan dll. yang berkemungkinan boleh menyekat kebebasan peribadi dan perkembangan pemain pada tahap tertentu. Oleh itu, anda harus memahami terma kontrak ini sebelum menandatangani kontrak. (sila rujuk Bahagian 1.1 untuk butiran)

Bahagian 3: Pemain sebagai Pekerja atau Kontraktor Bebas

Menentukan sama ada pemain bekerja sebagai pekerja atau kontraktor bebas akan menentukan sama ada organisasi itu bertanggungjawab untuk memenuhi kelayakan pemain (cth. KWSP, PERKESO, faedah perubatan, dll.).

Dalam kebanyakan kes, pemain dikategorikan sebagai kontraktor bebas, terutamanya dalam penyertaan kejohanan dan kontrak jangka pendek dengan kelab. Ini membolehkan fleksibiliti, di mana pemain hanya dilantik dan dibayar untuk perkhidmatan yang diberikan pada waktu tertentu, tanpa hak kepada faedah pekerja tetap. Pemain yang berstatus kontraktor bebas juga berhak untuk bekerja dengan organisasi lain, selagi ia tidak melanggar klausa eksklusif atau sekatan dalam kontrak yang ditandatangani.

Namun, jika pemain terlibat secara berterusan dengan satu organisasi dan memenuhi syarat-syarat pekerjaan tetap, seperti menerima gaji tetap, bekerja di bawah arahan, dan bergantung sepenuhnya kepada organisasi tersebut, mereka mungkin dikategorikan sebagai pekerja. Ini akan menuntut organisasi memenuhi tanggungjawab pekerja seperti yang ditetapkan dalam undang-undang buruh.

Bahagian 4: Rangka Kerja Tadbir Urus dan Kawal Selia

Rangka kerja tadbir urus dan kawal selia merupakan pertimbangan penting dalam perjanjian kontrak Esukan, dengan usaha berterusan untuk mewujudkan peraturan dan peraturan piawai untuk industri. Apabila industri Esukan berkembang, keperluan untuk tadbir urus yang berkesan menjadi semakin penting untuk memastikan persaingan yang adil, melindungi hak pelbagai pihak berkepentingan dan mengekalkan integriti sukan itu, antaranya adalah seperti berikut:

OrganisasiPeranan
Esports Integrated (ESI)Bertujuan untuk mewujudkan struktur dan program untuk menyokong pertumbuhan ekosistem Esukan melalui program pembinaan kapasiti dan membangunkan rangka kerja pengawalseliaan yang berkesan melalui garis panduan pembangunan Esukan kebangsaan (NESDEG).
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF)Berfungsi sebagai badan induk untuk semua sukan elektronik di Malaysia, yang memastikan kualiti setiap acara esukan mematuhi peraturan kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS)Bertujuan untuk memastikan keadilan dan integriti dalam olahraga Malaysia dengan melaksanakan program dan peraturan anti-doping yang mantap
FAQ NESDEG
Teras 1

Penggunaan contoh kontrak yang terdapat dalam NESDEG 2022 ini adalah sebagai bahan rujukan kepada pihak berkepentingan. Contoh kontrak tersebut mengandungi terma dan syarat yang relevan bagi mengelakkan pertikaian. Walau bagaimanapun, nasihat guaman profesional amat digalakkan sebelum mengguna pakai mana-mana panduan yang telah tersedia dalam NESDEG 2022.

Sebarang bentuk kontrak adalah tertakluk dengan peruntukan di bawah Akta Kontrak 1950.

Pihak yang telah melanggar kontrak ketika tempoh kontrak masih lagi berkuatkuasa masih perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran apa-apa terma di bawahnya. Perkara yang berhak dituntut kepada pihak yang melanggar kontrak adalah kesemua kos kerugian yang ditanggung oleh pihak lagi satu termasuk sebarang kos teladan yang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang.

BERIKAN MAKLUMBALAS ANDA

Input dan maklum balas daripada orang awam amat maklum balas amat dialu-alukan untuk memastikan NESDEG kekal relevan dan segar. Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila KLIK di sini.

HUBUNGI KAMI

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

MINISTRY OF YOUTH AND SPORTS

Menara KBS, 27, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62570 Putrajaya

www.kbs.gov.my/

KBSMALAYSIA

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Scroll to Top