Kementerian Belia dan Sukan
Jata Negara

TERAS 1:
PENGURUSAN KONTRAK KEPADA PEMAIN

Pengenalan

Sebelum menandatangani sebarang kontrak, adalah penting untuk memahami hak dan tanggungjawab anda sebagai pemain esukan profesional di Malaysia. Panduan ini disediakan bagi memudahkan pemahaman untuk semua lapisan masyarakat.

Kontrak esukan bukan sekadar dokumen biasa. Ia merupakan perjanjian penting yang melindungi pemain dari pelbagai aspek, termasuk hak kewangan, hak imej, dan perlindungan sekiranya berlaku pertikaian dengan kelab. NESDEG 2025 menggariskan elemen yang wajib hadir dalam setiap kontrak bagi memastikan semua pihak diperlakukan dengan adil.

Lima perkara utama yang perlu anda fahami

  1. Kenal pasti semua pihak yang terlibat

    Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan peranan setiap pihak perlu dinyatakan dengan jelas dalam kontrak. Tiada ruang untuk kesamaran.

  2. Nyatakan perkhidmatan dan kewajipan dengan tepat

    Segala tugas yang perlu dilaksanakan oleh pemain, sama ada bertanding, melakukan penstriman atau promosi media sosial, perlu diperincikan secara khusus dalam kontrak.

  3. Fahami sepenuhnya terma kewangan

    Gaji, bonus, tajaan dan wang hadiah perlu disertakan dengan angka yang tepat serta tarikh pembayaran yang jelas. Terma yang kabur boleh membawa kepada pertikaian di kemudian hari.

  4. Lindungi hak harta intelek anda

    Tag permainan dan imej anda adalah hak milik anda. Pastikan kontrak tidak menyerahkan hak tersebut secara mutlak kepada kelab tanpa syarat yang jelas dan adil.

  5. Semak klausa penamatan kontrak

    Cara untuk menamatkan kontrak, tempoh notis yang diperlukan dan pampasan yang berkaitan perlu ditetapkan secara bertulis sebelum kontrak ditandatangani.

Elemen Utama Kontrak Pemain Esukan

Terdapat 9 elemen yang wajib ada dalam setiap kontrak pemain esukan. Setiap elemen memainkan peranan penting dalam melindungi hak semua pihak yang terlibat.

Pihak yang terlibat dan kewajipan masing-masing

Nama penuh, IC, alamat dan peranan setiap pihak wajib dinyatakan dengan jelas.

Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan peranan setiap pihak, sama ada pemain, kelab atau penganjur, perlu dinyatakan dengan jelas. Semua perkhidmatan yang perlu dilaksanakan oleh pemain turut perlu disenaraikan secara terperinci, termasuk garis masa yang dipersetujui.

Pemain bawah 18 tahun

Ramai pemain esukan mula berkarier pada usia 15 hingga 17 tahun. Undang-undang Malaysia menyediakan peruntukan khusus bagi melindungi golongan ini. Sila pilih kategori umur untuk melihat had waktu kerja yang terpakai.

Had waktu kerja: Pemain bawah 15 tahun

  • Maksimum 6 hari bekerja berturut-turut
  • Maksimum 8 jam sehari
  • Rehat 30 minit wajib bagi setiap 3 hingga 4 jam bekerja
  • Tiada aktiviti kerja antara pukul 8 malam hingga 7 pagi
  • Sekurang-kurangnya 14 jam rehat berturut-turut diperlukan

Kontrak untuk pemain bawah umur juga perlu mengandungi klausa penamatan yang jelas, iaitu membolehkan kontrak dibatalkan sekiranya timbul isu berkaitan kesihatan, pendidikan, atau kesejahteraan pemain. Kepentingan terbaik kanak-kanak mestilah diutamakan pada setiap masa.

Wang dan kewangan

Pilih jenis pendapatan untuk memahami cara pengiraan dan perlindungan hak kewangan anda sebagai pemain:

Gaji

Setiap pemain berhak menerima gaji tanpa mengira sama ada beliau merupakan pemain utama atau pemain simpanan. Gaji perlu dibayar mengikut jumlah dan tarikh yang telah dipersetujui dalam kontrak. Kelewatan pembayaran boleh dianggap sebagai pelanggaran kontrak.

Risiko dan perangkap kontrak

Berikut adalah risiko yang kerap dialami oleh pemain esukan. Semua risiko ini boleh dielakkan sekiranya anda memahami perkara yang perlu disemak sebelum menandatangani kontrak.

Tempoh kontrak yang terlalu panjang atau tidak jelas

Risiko sederhana

Kontrak yang terlalu panjang boleh mengikat pemain dan menyekat peluang kerjaya baharu. Walaupun tiada tempoh minimum atau maksimum yang ditetapkan oleh undang-undang, semua syarat tempoh, eksklusiviti dan sekatan perlu dinyatakan dengan jelas untuk mengelakkan salah faham.

Kos penamatan yang membebankan

Risiko tinggi

Sesetengah kontrak mengenakan penalti yang tinggi sekiranya pemain ingin menamatkan kontrak lebih awal. Pemain berhak merundingkan terma penamatan yang adil sebelum menandatangani, dan bukan hanya mengetahuinya selepas terikat.

Terma kewangan yang tidak jelas

Risiko sederhana

Ungkapan seperti "bonus mengikut budi bicara" atau "dibayar apabila sesuai" adalah tanda amaran yang perlu diberi perhatian. Semua jumlah bayaran, tarikh pembayaran dan kaedah pengiraan perlu dinyatakan secara hitam putih dalam kontrak.

Kehilangan hak harta intelek

Risiko tinggi

Tanpa klausa pemulangan hak yang jelas, pemain berisiko kehilangan kawalan ke atas tag permainan, imej peribadi dan kandungan penstriman selepas kontrak tamat. Pastikan kontrak mengandungi klausa "IP reversion" yang memperincikan apa yang berlaku kepada hak tersebut apabila kontrak berakhir.

Klausa sekatan yang terlalu luas

Risiko sederhana

Klausa eksklusiviti yang terlalu ketat boleh menghalang pemain daripada melakukan penstriman secara peribadi atau bekerja sama dengan mana-mana pihak lain. Setiap sekatan perlu mempunyai had skop, tempoh masa dan kawasan geografi yang jelas dan munasabah.

Pekerja atau kontraktor bebas?

Perbezaan antara kedua-dua status ini bukan sekadar label semata-mata. Ia menentukan faedah yang berhak anda terima dan tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh kelab. Oleh itu, status ini perlu dinyatakan dengan jelas dalam kontrak.

Pekerja

  • Ada Caruman KWSP dan PERKESO oleh majikan
  • Ada Cuti tahunan dan cuti sakit
  • Ada Faedah perubatan
  • Ada Gaji minimum terpakai
  • Ada Perlindungan insurans

Kontraktor Bebas

  • Tiada Tiada caruman KWSP/PERKESO wajib
  • Tiada Tiada cuti bergaji yang dijamin
  • Ada Boleh kerja dengan pihak lain
  • Ada Bayaran berdasarkan perkhidmatan
  • Ada Terma mesti dinyatakan dengan jelas

Kebanyakan pemain esukan dikategorikan sebagai kontraktor bebas, terutamanya bagi penyertaan kejohanan atau kontrak jangka pendek. Walau bagaimanapun, sekiranya pemain menerima gaji tetap dan bekerja mengikut arahan kelab secara sepenuh masa, beliau mungkin layak dianggap sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955. Dalam situasi itu, kelab perlu memikul tanggungjawab yang lebih menyeluruh terhadap pemain tersebut.

Penutup

Untuk maklumat lanjut dan templat kontrak pemain esukan, sila rujuk Lampiran 1.1 yang terdapat dalam dokumen NESDEG Edisi 2025.

Panduan ini dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Esports Integrated (ESI) sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS 2020-2025.

Siapa
Yang Terlibat?

  • PEMAIN

    Berperanan besar dalam setiap aktiviti sukan elektronik di Malaysia yang mana tanpa penglibatan pemain, sesuatu aktiviti sukan elektronik tidak mungkin akan berjalan. Oleh yang demikian, hak dan kepentingan seorang individu yang bergelar pemain tanpa mengira umur, bangsa, agama, tahap penglibatan dan prestasinya harus dikawal selia dengan sebaiknya.

  • BADAN SUKAN BERDAFTAR

    Berperanan untuk memastikan semua aktiviti sukan berkaitan dengan sukan elektronik adalah mengikut undang-undang, peraturan, kaedah, garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh badan sukan kebangsaan dan Pesuruhjaya Sukan.

  • PENGANJUR ACARA

    Berperanan untuk memastikan kelestarian aktiviti sukan elektronik sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Selain menganjurkan aktiviti sukan elektronik, penganjur acara juga bertanggungjawab untuk memastikan objektif setiap aktiviti yang dianjurkan adalah selaras dengan inisiatif dan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS.

  • PENERBIT PERMAINAN

    Berperanan untuk memastikan kelestarian pembangunan dan penciptaan permainan yang terkini yang menyumbang kepada perkembangan industri kreatif di Malaysia. Pertumbuhan industri kreatif di dalam ekosistem sukan elektronik semestinya dapat menambah peluang pekerjaan di samping mewujudkan persaingan yang lebih sihat di antara penerbit permainan.

  • AGENSI KERAJAAN

    Berperanan untuk memastikan industri sukan elektronik ini dapat dibangunkan dan dihidupkan dalam parameter dan strategi yang disarankan oleh kerajaan di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS selaras dengan perkembangan pesat industri ini di seluruh dunia.

FAQ

Soalan Lazim Teras 1

Soalan lazim berkaitan pengurusan kontrak kepada pemain — termasuk penggunaan templat kontrak NESDEG, kesahihan kontrak di bawah undang-undang Malaysia, dan kesan pelanggaran terma.

Adakah wajib menggunakan kontrak dari NESDEG ini?

Penggunaan contoh kontrak yang terdapat dalam NESDEG 2022 ini adalah sebagai bahan rujukan kepada pihak berkepentingan. Contoh kontrak tersebut mengandungi terma dan syarat yang relevan bagi mengelakkan pertikaian.

Walau bagaimanapun, nasihat guaman profesional amat digalakkan sebelum mengguna pakai mana-mana panduan yang telah tersedia dalam NESDEG 2022.

Adakah kontrak ini sah?

Sebarang bentuk kontrak adalah tertakluk dengan peruntukan di bawah Akta Kontrak 1950.

Apakah kesan melanggar kontrak?

Pihak yang telah melanggar kontrak ketika tempoh kontrak masih lagi berkuatkuasa masih perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran apa-apa terma di bawahnya.

Perkara yang berhak dituntut kepada pihak yang melanggar kontrak adalah kesemua kos kerugian yang ditanggung oleh pihak lagi satu termasuk sebarang kos teladan yang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Maklum Balas

"*" indicates required fields

This field is for validation purposes and should be left unchanged.