Kementerian Belia dan Sukan
Jata Negara

TERAS 2:
PENERAPAN TADBIR URUS DALAM PENGANJURAN ACARA

Pengenalan

Teras 2 menggariskan garis panduan untuk penganjuran kejohanan esukan yang adil, profesional, dan bertanggungjawab. Panduan ini direka untuk membantu persatuan, penganjur acara, dan semua pihak yang terlibat dalam merancang, mengurus, dan melaksanakan kejohanan esukan di Malaysia.

Terdapat banyak elemen penting dalam penganjuran acara esukan, antaranya pemasaran, penstriman langsung, kesihatan dan kesejahteraan peserta, perlindungan integriti permainan, serta aspek undang-undang dan kontrak. Semua elemen ini perlu diambil kira secara menyeluruh untuk memastikan kejohanan berjalan lancar dan memberi impak positif kepada ekosistem esukan negara.

Bahagian 1: Standard pertandingan dan penganjuran

Sebarang penganjuran aktiviti esukan di Malaysia mesti merujuk kepada pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa serta mematuhi standard industri yang relevan. Penganjur bertanggungjawab menyediakan peraturan yang jelas, sistem pendaftaran yang teratur, pelan risiko, serta perlindungan data bagi semua peserta dan penonton.

Format pertandingan dan struktur pusingan memainkan peranan penting dalam memastikan kejohanan esukan berjalan secara adil, telus, dan profesional. Penganjur perlu memilih format yang sesuai dan menyatakan struktur pusingan dengan jelas sebelum pendaftaran dibuka.

Liga / Round Robin

Setiap pasukan atau pemain bertanding menentang semua peserta lain sekurang-kurangnya sekali. Mata diberikan berdasarkan keputusan setiap perlawanan iaitu menang, seri, atau kalah. Kedudukan akhir ditentukan berdasarkan jumlah mata keseluruhan.

  • Jadual dan struktur pusingan mesti diumumkan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum acara.
  • Gunakan prosedur tie-breaker yang jelas untuk kes keputusan seri.
  • Jadual perlawanan tidak boleh bertindih untuk memastikan keadilan.

Garis panduan umum untuk semua format

  • Jadual dan struktur pusingan mesti diumumkan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum acara.
  • Sebarang pindaan mesti dimaklumkan dan mendapat persetujuan semua peserta.
  • Semua peraturan pertandingan, pemarkahan, dan penentuan pemenang mesti dijelaskan secara terbuka.
  • Sistem rayuan untuk menangani pertikaian mesti disediakan dan mudah diakses.
  • Penganjur bertanggungjawab menyediakan peralatan teknikal berkualiti dan sokongan teknikal sepanjang acara.
  • Semua hadiah yang diberikan mestilah sah di sisi undang-undang dan mematuhi nilai moral serta agama.
  • Proses pendaftaran mesti dilakukan secara sukarela dan polisi penarikan diri perlu dijelaskan sebelum acara bermula.

Bahagian 2: Tanggungjawab pengadil

Pengadil dan marshal merupakan tonggak penting dalam pengendalian pertandingan esukan yang adil, teratur, dan profesional. Mereka bertanggungjawab memastikan semua peserta mematuhi peraturan kejohanan serta membuat keputusan yang saksama dan tepat sepanjang perlawanan.

Tanggungjawab utama pengadil

Penguatkuasaan peraturan

Memastikan semua peserta mematuhi peraturan permainan dan kejohanan yang telah ditetapkan.

Keputusan teknikal

Mengambil tindakan terhadap pelanggaran seperti penggunaan perisian tidak sah, tingkah laku tidak beretika, atau kelewatan penyertaan.

Komunikasi neutral

Berinteraksi secara profesional dan tidak memihak kepada mana-mana pemain, pasukan, atau penganjur.

Pelaporan insiden

Melaporkan sebarang insiden secara bertulis kepada jawatankuasa kejohanan, termasuk bantahan dan pertikaian.

Amalan terbaik untuk mengelakkan penghakiman tidak adil

Semua pengadil perlu menjalani latihan asas esukan dan lulus kursus sijil yang diiktiraf oleh badan kebangsaan atau antarabangsa seperti IESF.

Bahagian 3: Tanggungjawab penyiaran dan penstriman

Tanggungjawab penyiaran dan penstriman dalam kejohanan esukan merangkumi pengurusan hak siaran, kualiti produksi, serta perlindungan terhadap hak peserta dan penganjur. Penyiaran yang berkualiti tinggi meningkatkan pengalaman penonton dan memberi nilai tambah kepada penaja.

  • Hak penyiaran mesti ditetapkan secara bertulis sebelum acara bermula.
  • Platform penyiaran yang digunakan perlu dimaklumkan kepada semua peserta dan penonton.
  • Pengulas dan penstrim perlu menandatangani perjanjian yang menetapkan hak mereka untuk menyiarkan, monetisasi, dan menggunakan kandungan acara.
  • Rakaman siaran kekal sebagai hak milik penganjur melainkan dinyatakan sebaliknya dalam perjanjian bertulis.
  • Penampilan dan imej pemain dalam siaran tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa kebenaran bertulis pemain berkenaan.

Bahagian 4: Integriti penganjur acara dan tatatertib pemain

Integriti dalam penganjuran acara esukan merangkumi tanggungjawab penganjur untuk memastikan kejohanan dijalankan secara adil, telus, dan bebas daripada sebarang bentuk manipulasi atau pengaruh tidak wajar. Tatatertib pemain pula menetapkan standard tingkah laku yang dijangka daripada setiap peserta sepanjang kejohanan.

Tanggungjawab integriti penganjur

  • Ada Menjalankan kejohanan bebas daripada pengaruh luaran
  • Ada Semua kontrak dinyatakan secara bertulis dan telus
  • Ada Mekanisme pelaporan salah laku di bawah Akta 711
  • Ada Laporan penilaian dalam 30 hari selepas acara

Tatatertib pemain

  • Ada Menghormati peraturan, pengadil dan semua pihak
  • Tiada Provokasi, buli, gangguan seksual atau bahasa kebencian
  • Tiada Perisian, perkakasan atau bahan yang memberi kelebihan tidak adil
  • Ada Pertikaian diselesaikan melalui saluran rasmi

Bahagian 5: Had umur

Penganjur perlu mematuhi had umur yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia dan peneraju permainan untuk setiap tajuk permainan yang dipertandingkan. Had umur perlu dinyatakan dengan jelas dalam terma dan syarat penyertaan, dan penganjur perlu memastikan peserta yang mendaftar memenuhi syarat umur yang ditetapkan.

  • Had umur bagi setiap tajuk permainan perlu merujuk kepada penarafan permainan yang dikeluarkan oleh badan pengawal selia yang berkenaan.
  • Peserta yang berusia di bawah 18 tahun memerlukan persetujuan bertulis daripada ibu bapa atau penjaga sah untuk menyertai kejohanan.
  • Penganjur bertanggungjawab mengesahkan umur peserta melalui dokumen pengenalan diri yang sah.

Bahagian 6: Data peribadi dan notis privasi

Penganjur bertanggungjawab melindungi data peribadi semua peserta, penonton, dan pihak yang terlibat dalam kejohanan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA). Notis privasi yang jelas perlu disediakan dan dipaparkan kepada semua pihak sebelum sebarang data peribadi dikumpulkan.

Tujuan pengumpulan

Data peribadi peserta hanya boleh dikumpulkan untuk tujuan yang berkaitan dengan penganjuran kejohanan sahaja.

Hak peserta

Peserta berhak untuk mengakses, membetulkan, atau menarik diri daripada pemprosesan data peribadi mereka pada bila-bila masa.

Perkongsian dengan pihak ketiga

Data peribadi tidak boleh dikongsi dengan pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis peserta, kecuali diwajibkan oleh undang-undang.

Pegawai Perlindungan Data

Penganjur perlu melantik Pegawai Perlindungan Data yang bertanggungjawab memastikan pematuhan PDPA sepanjang acara.

Bahagian 7: Tajaan

Tajaan memainkan peranan penting dalam membiayai dan meningkatkan profil kejohanan esukan. Perjanjian tajaan perlu dinyatakan secara bertulis dan jelas, merangkumi hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak, tempoh perjanjian, nilai tajaan, serta syarat penggunaan logo dan kandungan jenama penaja.

Jenis-jenis tajaan

Tajaan tunai

Sumbangan kewangan langsung oleh penaja untuk membiayai operasi kejohanan.

Tajaan barangan

Peralatan, produk, atau perkhidmatan yang disumbangkan oleh penaja sebagai sebahagian daripada pakej tajaan.

Tajaan media

Liputan media percuma atau berbayar yang diberikan kepada kejohanan oleh rakan media.

Tajaan hadiah

Sumbangan hadiah wang tunai atau barangan untuk pemenang kejohanan.

Amalan terbaik pengurusan tajaan

  • Semua perjanjian tajaan perlu disempurnakan secara bertulis sebelum acara bermula.
  • Hak pengiklanan dan penempatan logo penaja perlu dinyatakan dengan tepat dalam perjanjian.
  • Hadiah tajaan mesti memenuhi syarat perjanjian tanpa menjejaskan reputasi acara atau pemenang.
  • Sekiranya hadiah tidak sesuai, penganjur perlu menyediakan pilihan alternatif yang boleh menggantikan hadiah asal.
  • Penganjur perlu memastikan bahawa semua tajaan mematuhi undang-undang Malaysia dan tidak bercanggah dengan nilai moral serta agama.

Penutup

Untuk maklumat lanjut dan templat kontrak penganjuran acara serta borang penyertaan pemain, sila rujuk Lampiran 2.1 yang terdapat dalam dokumen NESDEG Edisi 2025.

Panduan ini dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Esports Integrated (ESI) sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS 2020-2025.

Siapa
Yang Terlibat?

  • PEMAIN

    Berperanan besar dalam setiap aktiviti sukan elektronik di Malaysia yang mana tanpa penglibatan pemain, sesuatu aktiviti sukan elektronik tidak mungkin akan berjalan. Oleh yang demikian, hak dan kepentingan seorang individu yang bergelar pemain tanpa mengira umur, bangsa, agama, tahap penglibatan dan prestasinya harus dikawal selia dengan sebaiknya.

  • BADAN SUKAN BERDAFTAR

    Berperanan untuk memastikan semua aktiviti sukan berkaitan dengan sukan elektronik adalah mengikut undang-undang, peraturan, kaedah, garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh badan sukan kebangsaan dan Pesuruhjaya Sukan.

  • PENGANJUR ACARA

    Berperanan untuk memastikan kelestarian aktiviti sukan elektronik sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Selain menganjurkan aktiviti sukan elektronik, penganjur acara juga bertanggungjawab untuk memastikan objektif setiap aktiviti yang dianjurkan adalah selaras dengan inisiatif dan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS.

  • PENERBIT PERMAINAN

    Berperanan untuk memastikan kelestarian pembangunan dan penciptaan permainan yang terkini yang menyumbang kepada perkembangan industri kreatif di Malaysia. Pertumbuhan industri kreatif di dalam ekosistem sukan elektronik semestinya dapat menambah peluang pekerjaan di samping mewujudkan persaingan yang lebih sihat di antara penerbit permainan.

  • AGENSI KERAJAAN

    Berperanan untuk memastikan industri sukan elektronik ini dapat dibangunkan dan dihidupkan dalam parameter dan strategi yang disarankan oleh kerajaan di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS selaras dengan perkembangan pesat industri ini di seluruh dunia.

FAQ

Soalan Lazim Teras 2

Soalan lazim mengenai NESDEG dan penerapan tadbir urus dalam penganjuran acara esukan.

Apa itu NESDEG

Sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia yang lebih terpelihara dan sebagai titik rujukan bagi pemegang taruh di dalam industri ini.

Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”), pelbagai garis panduan telah digariskan untuk membantu meningkatkan dan menggalakkan kesinambungan kecemerlangan sukan elektronik di Malaysia.

NESDEG bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Menerusi kerjasama melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, NESDEG telah dirangka dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor swasta dan wakil kementerian-kementerian.

Apakah matlamat NESDEG?

Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan bertanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Objektif penyediaan NESDEG 2022 ini adalah seperti berikut:

  • Memastikan kebajikan dan hak pemain yang merangkumi pelan kerjaya, penajaan dan program pembangunan dilindungi dan ditambahbaik di setiap peringkat.
  • Mewujudkan industri sukan elektronik yang bertanggungjawab dan beretika dengan mengambil kira persepsi masyarakat, penglibatan wanita dan kanak-kanak termasuk mengimbangi aktiviti sukan elektronik dengan aktiviti fizikal yang lain.
  • Menyediakan struktur pembangunan terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab sukan elektronik di rantau asia.
  • Memperkukuh kerjasama strategik antara pemain dan penggiat industri melalui kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
  • Mewujudkan ekosistem sukan elektronik yang mengikut standard tadbir urus yang tinggi sekaligus menjadi penanda aras kepada kemajuan ekosistem sukan elektronik di Malaysia.

Terdapat 6 teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop yang penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu:

  1. Pengurusan Kontrak Pemain
  2. Tadbir Urus Penganjuran Acara
  3. Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak
  4. Tatakelakuan dan Etika
  5. Garis Panduan Laluan Kerjaya
  6. Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan di dalam Sukan Elektronik
Teras-Teras NESDEG
  1. Teras 1: Pengurusan Kontrak kepada Pemain
    Memastikan atlet esukan mempunyai kontrak yang jelas, adil, dan mematuhi undang-undang. Ia meliputi elemen penting seperti tanggungjawab, hak, terma kewangan, hak harta intelek, dan syarat penamatan untuk mewujudkan persekitaran profesional dan selamat bagi pemain.
  2. Teras 2: Tadbir Urus Penganjuran Acara
    Menetapkan standard tadbir urus untuk kejohanan esukan. Ia memberi tumpuan kepada mengekalkan keadilan, integriti, akauntabiliti dan pengurusan risiko melalui peraturan berstruktur, langkah anti-doping, dan pematuhan kepada piawaian tempatan dan antarabangsa.
  3. Teras 3: Kod Tatakelakuan dan Etika & Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak Kanak
    Mempromosi dan membangunkan integriti permainan dan perlindungan kanak-kanak. Teras ini mempunyai dua aspek utama:
    • Kod Tatakelakuan dan Etika yang menetapkan peraturan untuk mengawal tingkah laku semua pihak yang terlibat bagi mempromosi dan membangunkan integriti esukan.
    • Perlindungan kanak-kanak yang memberi hala tuju yang jelas tentang jangkaan dan komitmen untuk menjaga dan mempromosi kebajikan dan kesejahteraan pemain esukan.
  4. Teras 4: Panduan Kewangan Esukan
    Memberi panduan tentang gambaran pengurusan kewangan dan strategi pengurusan dalam industri esukan. Panduan ini mengandungi cadangan untuk menguruskan aliran pendapatan, jalinan kerjasama dengan rakan kongsi, dasar sokongan dan inisiatif cukai.
  5. Teras 5: Panduan Laluan Kerjaya & Penganjuran Di Sekolah
    Memberikan laluan kerjaya yang jelas serta panduan untuk penganjuran program esukan di sekolah. Teras ini mempunyai dua bahagian utama:
    • Panduan laluan kerjaya esukan bagi membina laluan kerjaya yang lebih jelas dan terancang bagi pelbagai pekerjaan dalam industri esukan.
    • Panduan penganjuran esukan di sekolah yang menunjukkan panduan pemudah cara yang dicipta untuk mereka yang berminat untuk memperkenalkan esukan di peringkat sekolah.
  6. Teras 6: Aplikasi Sains dan Perubatan Sains
    Menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental dalam esukan. Ia termasuk panduan amalan terbaik dalam penjagaan kesihatan, pencegahan kecederaan, jadual latihan, dan sokongan psikologi untuk mengoptimumkan prestasi dan ketahanan pemain.
Penglibatan Perangkaan NESDEG

NESDEG ialah kemuncak usahasama oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dengan pihak berkepentingan industri esukan, untuk memastikan keseimbangan dicapai antara mewujudkan rangka kerja kawal selia yang mampan dan kepentingan industri dan komuniti e-sukan Malaysia.

Industri e-sukan dan komuniti mesti bersatu dan menerima cadangan yang dibuat dalam bab NESDEG untuk memastikan semua orang yang terlibat dilindungi.

Pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan terlibat dalam sesi pertama penggubalan Kementerian Belia dan Sukan yang bermula pada tahun 2021:

  • Majlis Sukan Negara (MSN)
  • Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN)
  • Institut Sukan Negara (ISN)
  • Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPSM)
  • Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS)
  • Sekretariat Industri Sukan (SIS)

Beberapa penglibatan dan bengkel telah dijalankan selepas itu sepanjang tahun 2022 dengan pelbagai pemegang taruh dari agensi kerajaan dan kementerian seperti dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), penerbit permainan, penganjur acara, pemain profesional, pengaruh esukan, dan pemilik pasukan untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan industri.

Garis Masa NESDEG

2021 – Oktober – Disember
Tahap 1: Mengenalpasti Isu dan Membina Agenda

  • Rangka awal Garis Panduan Pengawalseliaan Esukan Kebangsaan dibangunkan secara dalaman di peringkat Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) dan inisiatif Esports Integrated (ESI), di bawah Impact Integrated.
  • 5 skop awal telah digariskan iaitu Kontrak Atlet, Perlindungan Kanak-Kanak, Acara Esukan, Etika Esukan dan Panduan Kerjaya.

2022 – Januari – Mac
Tahap 2: Penandaarasan dan Penerimaan Input

  • Bengkel dalaman bersama-sama agensi-agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Kementerian Belia dan Sukan) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Sekretariat Industri Sukan (SIS) dan Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik Kementerian Belia dan Sukan.
  • Kerjasama dengan FUTURISE di bawah National Regulatory Sandbox.
  • Kerjasama dengan Insitut Sukan Negara (ISN) bagi Teras 6 – Sains Esukan.
  • Penamaan semula Garis Panduan kepada Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG).

2022 – April – Julai
Tahap 3: Fasa Pembangunan dan Perbincangan Kumpulan Fokus

  • Draf kedua NESDEG dibangunkan melalui input dan maklumbalas dari 2 bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD).
  • Bengkel yang diadakan di ESI Hub bersama-sama hampir 100 peserta dari industri esukan termasuklah wakil pemain, penganjur acara, penerbit permainan, persatuan, pasukan, pihak berwajib dari jabatan dan kementerian berkait berserta pemegang-pemegang taruh yang lain.

2022 – Ogos – Disember
Tahap 4: Penilaian Dalaman dan Penalaan Halus

  • Draf ketiga NESDEG dibangunkan dengan input dan penambahbaikan yang diterima dari sesi FGD.
  • Mekanisme penerimaan maklumbalas secara online dan melalui kaedah townhall tahunan untuk membincangkan dan menerima penambahbaikan ke draf NESDEG sedia ada.
  • Terjemahan draf NESDEG ke Bahasa Inggeris.

2023 – Jun
Tahap 5: Pelancaran Garis Panduan dan Kempen Kesedaran

  • Pelancaran NESDEG versi 1 dan laman web NESDEG di ESI Hub.
  • Kempen kesedaran umum untuk memastikan elemen-elemen NESDEG disebarkan kepada orang awam.
  • Mekanisme maklumbalas untuk menerima input dan penambahbaikan dari komuniti dan orang awam di laman web NESDEG.

2024 – November
Tahap 6: Penambahbaikan Berkala

  • Teras 3 Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak & Teras 4 Kod Tatakelakuan dan Etika telah digabungkan kepada Teras 3 dan disatukan menjadi Kod Tatakelakuan dan Etika & Pemantauan dan Perlindungan Kepada Kanak-Kanak.
  • Teras 4 telah ditambah dan menampilkan tajuk baru iaitu Panduan Kewangan Esukan.
  • Teras 5 memperkenalkan tajuk baru iaitu Panduan Laluan Kerjaya & Panduan Esukan di Sekolah.

Untuk memastikan NESDEG kekal relevan, penambahbaikan secara berkala akan dijalankan setiap tahun. Input dan maklum balas yang diterima melalui laman sesawang NESDEG akan dibincangkan di Tonwhall Tahunan Esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi mendapatkan maklum balas secara terbuka untuk versi-versi NESDEG seterusnya.

Penambahbaikan Berkala

Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan input dan maklum balas dari komuniti dan orang awam bagi memastikan NESDEG kekal relevan dan efektif.

Sekiranya anda ingin memberikan maklum balas, sila ke NESDEG.my dan klik ke laman maklum balas.

Perancangan program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan pada Tahun 2024.

Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan lebih RM8 juta untuk program-program pada tahun 2024. Program-program ini akan dilaksanakan melalui inisiatif ESI, Majlis Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Bermula pada tahun 2024, inisiatif ESI di bawah Impact Integrated akan menjadi agensi peneraju bagi program-program esukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Di antara program-program dan inisiatif yang bakal berlangsung termasuklah:

  • Jelajah NESDEG
  • Townhall Tahunan Esukan KBS
  • Malaysia Esports League 2024
  • Kajian Esukan Kebangsaan
  • Kalendar, Direktori dan Sistem Ranking esukan kebangsaan
  • KBS Masters Games 2024
  • esukan.fm
  • ESI Masterclass 2024
  • Dana Esukan KBS 2024
  • Konvensyen Esukan 2024
  • Bengkel Penyediaan Atlet Bersara
  • Jelajah Juara Esukan
  • Kejohanan KBS MyLadies Esports 4.0
  • Kejohanan Esukan Hari Sukan Negara 2024
  • Sukarelawan Esukan 2024
  • Pembangunan Modul Kejurulatihan Esukan

Para penggiat dan peminat industri boleh ke laman web dan laman sosial Kementerian Belia dan Sukan, ESI, MSN dan JBSN untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program esukan Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2024.

Maklum Balas

"*" indicates required fields

This field is for validation purposes and should be left unchanged.