Pengenalan
Esukan bukan sekadar bermain permainan video. Ia adalah sebuah industri profesional yang berkembang pesat dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang menarik, bermakna, dan berdaya maju. Berdasarkan Perancangan Strategik Pembangunan Esukan 2020 hingga 2025, kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengiktiraf sukan elektronik sebagai laluan kerjaya yang sah dan mampan.
Sama ada minat anda terletak pada permainan, teknologi, perniagaan, kesihatan, atau komunikasi, pasti ada tempat untuk anda dalam ekosistem esukan Malaysia. Panduan ini akan membantu anda memahami laluan kerjaya yang tersedia dan langkah yang boleh diambil untuk memulakan perjalanan anda.
Gambaran keseluruhan kerjaya dalam esukan
Tiga kumpulan peranan menggerakkan industri esukan Malaysia.
Peranan spesifik esukan
- Pemain profesional
- Jurulatih
- Pengulas sukan (caster)
- Produksi penyiaran
- Pengurus media sosial
- Pengurusan & operasi
- Editor video & foto
Peranan teknologi
- Keselamatan siber
- Analitik data besar
- Pembangun perisian
- Network engineering
- Kecerdasan buatan (AI)
- Kejuruteraan perisian
- Reka bentuk UI/UX
Peranan umum
- Jualan & pemasaran
- Perhubungan awam
- Iklan & penjenamaan
- Pereka bentuk grafik
- Pengurus kewangan
- Pengurus sumber manusia
- Pegawai undang-undang
Semua peranan di atas memerlukan gabungan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah. Bidang akademik seperti ICT, Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Media Kreatif, Pengajian Perniagaan, dan Pereka Grafik adalah antara laluan pengajian yang paling relevan untuk memasuki industri esukan.
Laluan 1: Pemain, pengurus dan jurulatih
Laluan ini bermula dengan minat dan berkembang melalui lima peringkat, daripada pemain amatur sehingga menguruskan sebuah kelab.
-
Pemain amatur
Permulaan kerjaya melalui minat dan hobi. Menyertai pertandingan peringkat komuniti dan peringkat sekolah.
-
Pemain profesional
Setelah menjalani latihan intensif, pemain amatur boleh disertai oleh kelab esukan profesional.
-
Atlet esukan
Mewakili pasukan atau negara dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
-
Jurulatih / penganalisis
Pengalaman sebagai pemain dimanfaatkan untuk melatih pemain lain, merancang strategi, dan menganalisis prestasi.
-
Pengurus kelab pasukan
Mengurus tadbir urus korporat kelab, mengenal pasti bakat baharu, dan menyelia keseluruhan operasi pasukan.
Peranan dalam laluan ini
Jurulatih dan penganalisis
Peranan: mengemudi dan melatih pemain atau pasukan; membina strategi perlawanan. Jurulatih esukan membantu mencungkil kemahiran setiap pemain dan menanam semangat berpasukan. Mereka juga berperanan membina dan menerapkan strategi perlawanan, memberi sokongan emosi, dan membentuk disiplin pemain semasa latihan dan pertandingan.
- Kemahiran utama: strategi permainan, komunikasi, analisis data, kepimpinan
Pengurus kelab pasukan
Peranan: menyelaras hubungan antara jurulatih, atlet, dan semua pihak berkepentingan. Pengurus kelab bertanggungjawab memastikan kepatuhan terhadap standard prestasi dalam latihan, kejurulatihan, dan khidmat sokongan. Mereka juga mengenal pasti bakat berpotensi dan menyelia strategi pembangunan pasukan jangka panjang.
- Kemahiran utama: pengurusan korporat, perundingan kontrak, pembangunan bakat
Laluan 2: Pakar fizikal dan psikologi
Jurulatih fizikal
Peranan: memastikan pemain mempunyai daya ketahanan fizikal yang sihat. Jurulatih fizikal merancang program latihan badan yang disesuaikan untuk pemain esukan bagi memastikan postur yang baik, mencegah kecederaan berulang, dan meningkatkan stamina keseluruhan sepanjang musim pertandingan.
- Kemahiran utama: fisiologi sukan, program latihan kecergasan, pengurusan kecederaan
Pakar psikologi dan kaunseling
Peranan: membantu pemain membina fokus mental dan meningkatkan produktiviti. Pakar psikologi sukan amat diperlukan untuk membantu pemain menangani tekanan pertandingan, kemurungan selepas kalah, dan isu kesejahteraan emosi. Mereka juga membantu pemain membina minda yang tangguh untuk bersaing di peringkat tertinggi.
- Kemahiran utama: psikologi sukan, kaunseling, pengurusan tekanan, motivasi
Pakar diet dan pemakanan
Peranan: membantu pemain menjaga kesihatan melalui pemakanan yang betul dan saintifik. Pakar diet menyediakan pelan pemakanan yang disesuaikan mengikut keperluan fizikal dan mental pemain esukan, termasuk pengurusan tenaga semasa latihan intensif dan semasa kejohanan yang berlangsung beberapa hari berturut-turut.
- Kemahiran utama: sains pemakanan, pelan diet sukan, suplemen yang dibenarkan
Laluan 3: Penganjuran acara dan komunikasi
Kumpulan terbesar dalam industri, terbahagi kepada pengurusan acara dan komunikasi media.
Pengurusan acara
Pengurus acara
Peranan: memastikan setiap penganjuran esukan dijalankan dengan baik dan berkualiti. Pengurus acara esukan perlu mengeluarkan idea baharu yang menarik untuk mempromosikan esukan dan berhubungan dengan pelbagai pihak seperti pemain, pengurus pasukan, penerbit permainan, agensi kerajaan, dan penaja. Sarjana Muda dalam Pengurusan Acara adalah kelayakan yang disyorkan.
- Kemahiran utama: pengurusan projek, komunikasi, penyelesaian masalah, logistik
Ketua pengadil dan pengadil
Peranan: memastikan setiap pertandingan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan. Pengadil esukan perlu memahami peraturan pertandingan secara mendalam, membuat keputusan yang saksama dalam masa singkat, dan berkomunikasi secara profesional dengan semua pihak. Pensijilan pengadil dari badan esukan yang diiktiraf adalah kelebihan.
- Kemahiran utama: pengetahuan peraturan permainan, keputusan teknikal, neutraliti
Komunikasi dan media
Wartawan sukan elektronik
Peranan: mengumpul maklumat dan mencipta bahan reportaj tentang industri esukan. Wartawan esukan menyampaikan analisis artikel, laporan perlawanan, dan temu bual dengan pelbagai pihak industri. Kemahiran penulisan dan penyampaian yang baik amat penting untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang budaya dan perkembangan esukan Malaysia.
- Kemahiran utama: penulisan kreatif, temu bual, analisis media, SEO
Jurugambar dan juruvideo / editor
Peranan: mengambil dan menghasilkan foto serta video berkualiti tinggi untuk acara esukan. Jurugambar dan juruvideo esukan perlu memastikan setiap karya yang dihasilkan bertepatan dengan subjek dan dapat menyampaikan tenaga dan suasana pertandingan dengan berkesan. Pengetahuan dalam pasca-produksi dan penyuntingan digital adalah aset penting.
- Kemahiran utama: fotografi, videografi, Adobe Premiere, penyuntingan warna
Pengurus media sosial
Peranan: bertanggungjawab terhadap platform media sosial sesebuah organisasi esukan. Pengurus media sosial esukan perlu menyediakan kandungan yang responsif, menyusun kempen yang strategik, dan memberi panduan mengenai reputasi organisasi dalam talian. Penyampaian maklumat yang betul dan kreatif melalui media sosial adalah medium berkesan untuk menghubungkan pemegang taruh dan orang awam. Kemahiran bercerita secara visual dan pemahaman tentang algoritma platform adalah kelebihan.
- Kemahiran utama: pemasaran digital, penulisan kandungan, analitik sosial, Canva
Pengulas sukan (shoutcaster / caster)
Peranan: mengulas dan menganalisis pertandingan secara langsung untuk penonton. Seorang caster perlu memahami mekanisme permainan secara mendalam, mengenali nama pemain profesional, dan berkebolehan menyampaikan ulasan yang menarik dan mendebarkan dalam bahasa yang mudah difahami penonton dari semua latar belakang.
- Kemahiran utama: kelancaran komunikasi, pengetahuan permainan, penyiaran langsung
Laluan 4: Informasi dan teknologi maklumat
Tiga kelompok kemahiran menyokong keseluruhan ekosistem teknologi esukan.
Kemahiran pengaturcaraan
- HTML / CSS
- JavaScript
- Python
- PHP
- SQL
- Git
Rangkaian & keselamatan
- Network engineering
- Cybersecurity
- Cloud computing
- Data analytics
- SEO
- System admin
Reka bentuk & UI
- UI/UX design
- Figma / Adobe XD
- Reka bentuk grafik
- Motion graphics
- Branding
- Game design
Peranan utama
Penganalisis keselamatan siber
Peranan: memastikan sistem dan rangkaian yang digunakan oleh pasukan dan penganjur selamat. Penganalisis keselamatan siber dalam esukan bertanggungjawab memastikan peranti pemain, server pertandingan, dan ekosistem ICT keseluruhan selamat daripada serangan siber, pencerobohan, dan kebocoran data. Memerlukan penguasaan dalam bahasa pengaturcaraan dan teknik pemprosesan data keselamatan untuk memastikan ekosistem ICT sentiasa terkawal. Ini adalah bidang yang sedang berkembang pesat di Malaysia.
- Kemahiran utama: keselamatan siber, analisis ancaman, forensik digital, network security
Pembangun perisian dan web
Peranan: membangunkan aplikasi dan laman web yang memenuhi keperluan ekosistem esukan. Pembangun web dan perisian dalam esukan perlu bekerja secara rentas fungsi dan tangkas untuk memastikan platform esukan, daripada laman web rasmi dan portal pendaftaran peserta hingga aplikasi penonton, dapat berfungsi dengan lancar mengikut kehendak semua pemegang taruh.
- Kemahiran utama: HTML, CSS, JavaScript, Python, React, pangkalan data, cloud
Pereka bentuk UI/UX dan grafik
Peranan: mereka bentuk pengalaman pengguna dan identiti visual untuk organisasi esukan. Pereka bentuk dalam esukan bertanggungjawab memastikan setiap platform digital mempunyai reka bentuk yang menarik, mudah digunakan, dan mencerminkan identiti jenama organisasi. Mereka juga mereka bentuk bahan promosi, logo, dan kandungan visual untuk kempen pemasaran.
- Kemahiran utama: Figma, Adobe Creative Suite, prinsip UI/UX, tipografi, branding
Peranan pengurusan dan sokongan lain
Setiap organisasi esukan memerlukan fungsi korporat yang sama seperti mana-mana perniagaan lain.
Pengurus kewangan dan akauntan
Peranan: mengurus aktiviti kewangan syarikat seperti bajet, cukai, dan audit. Pengurus kewangan dalam organisasi esukan perlu menguasai aspek perakaunan, pelaporan kewangan, dan pematuhan cukai yang berkaitan dengan industri esukan, termasuk pengurusan wang hadiah, kontrak tajaan, dan perbelanjaan operasi pasukan.
- Kemahiran utama: perakaunan, kewangan korporat, undang-undang cukai, Excel/ERP
Pengurus sumber manusia
Peranan: mengurus polisi dalaman, pekerja, penggajian, dan pengambilan kakitangan. Pengurus sumber manusia esukan perlu memahami tadbir urus korporat khusus industri ini termasuk struktur kontrak pemain, pengurusan prestasi, dan strategi pengambilan bakat muda yang berpotensi untuk perkembangan industri esukan Malaysia.
- Kemahiran utama: pengurusan HR, undang-undang buruh, pembangunan bakat, komunikasi
Pegawai undang-undang dan peguam
Peranan: menasihati organisasi dari sudut perundangan dan merangka dokumen kontrak. Pegawai undang-undang dalam esukan membantu pemain dan organisasi memahami kontrak, operasi kejohanan, dan pematuhan undang-undang negara. Mereka juga mengendalikan isu berbangkit yang berkaitan dengan hak harta intelek, pertikaian kewangan, dan tatatertib.
- Kemahiran utama: undang-undang kontrak, harta intelek, perundangan sukan, perantaraan
Bahagian 2: Program pendidikan esukan di Malaysia
Terdapat pelbagai kursus yang ditawarkan melalui akademi, universiti, dan kolej di Malaysia, daripada kursus berasaskan permainan hingga kursus berasaskan industri, untuk memupuk dan membangunkan profesional esukan masa hadapan.
Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT)
Esukan dimasukkan sebagai mata pelajaran kokurikulum tambahan yang wajib untuk semua pelajar diploma dan ijazah sarjana muda. Universiti ini juga mempunyai persatuan permainan interaktif (Interactive Gaming Society) yang aktif dalam pertandingan esukan di peringkat universiti.
Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU)
Menawarkan kursus berasaskan permainan khusus termasuk Sijil dalam League of Legends, Sijil dalam Dota 2, dan Sijil dalam Counter-Strike: Global Offensive. Sesuai untuk pelajar yang ingin mendalami permainan kompetitif secara akademik.
Todak Academy
Menyediakan program Eksekutif Esukan yang diperakui oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini menggabungkan latihan profesional industri dengan kelayakan akademik yang diiktiraf, menjadikannya pilihan ideal bagi individu yang ingin berkarier dalam pengurusan esukan.
Penutup
Industri esukan Malaysia menawarkan peluang kerjaya yang luas merentasi pelbagai bidang. Sama ada anda bermula sebagai pemain amatur, pelajar ICT, graduan perniagaan, atau profesional yang ingin menceburi industri baharu, terdapat laluan yang sesuai untuk anda dalam ekosistem esukan negara.
Untuk memahami skala pasaran, pemegang taruh utama, dan aliran pendapatan yang menggerakkan kerjaya ini, rujuk panduan kewangan dalam Teras 4.
Untuk maklumat lanjut tentang laluan kerjaya, program latihan, dan peluang penempatan dalam industri esukan Malaysia, sila muat turun NESDEG Edisi 2025.
Panduan ini dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Esports Integrated (ESI) sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS 2020-2025.
Siapa
Yang Terlibat?
Soalan Lazim Teras 5
Soalan lazim mengenai NESDEG dan laluan kerjaya dalam industri esukan.
Rujukan
Maklum Balas
"*" indicates required fields